suria

1MDB Perjelas Tiada Pegawainya Direman

PETALING JAYA: 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Selasa memperjelaskan bahawa tiada pegawainya direman oleh mahkamah majistret berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas.

"1MDB mengambil maklum mengenai laporan media terhadap individu yang telah direman oleh mahkamah majistret berhubung dengan siasatan yang sedang dijalankan oleh Pasukan Petugas Khas.

"Tiada pekerja 1MDB berada di bawah tahanan reman," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, 1MDB mengulangi komitmennya untuk memberikan kerjasama penuh kepada semua pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan ke atas syarikat pelaburan strategik kerajaan itu.

Pada Selasa, dilaporkan pengarah syarikat pembangunan hartanah yang ditahan Pasukan Petugas Khas yang menyiasat dana 1MDB direman empat hari oleh Mahkamah Majistret di Putrajaya.

Lelaki berusia 39 tahun yang juga seorang kontraktor itu ditahan pada Isnin lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dihadapkan ke mahkamah pagi Selasa.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, anak guamnya ditahan reman selama empat hari berkaitan isu berkepentingan nasional.

Difahamkan, penahanan itu bagi membantu siasatan kes 1MDB.

1MDB

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain