SHAH ALAM: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sedia mengetuai pasukan penyiasat Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menemubual bekas eksekutif kanan PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo. Khalid berkata, pada masa ini pihaknya masih menunggu kesediaan polis Thailand untuk memberi kebenaran kepada pasukan penyiasat PDRM berangkat ke Thailand dan menemubual Justo. "Kita akan menghantar pegawai kita ke Thailand apabila pihak di sana sudah bersedia menerima pegawai-pegawai kita. "Saya tak menolak akan ketuai siasatan ke Thailand, saya pun ketua penyiasat, saya KPN, ketua kepada polis-polis, jadi kenapa tidak?," katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Polis Bantuan Koperasi Polis di i-City, di sini, Rabu. Menurut Khalid, siasatan PDRM itu bagaimanapun tidak mempunyai kaitan dengan siasatan ke atas 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kerana ia dikendalikan Pasukan Petugas Khas. Katanya, penyiasat PDRM hanya akan memberi fokus terhadap pendedahan polis Thailand mengenai Justo dan pengakuan bekas editor Sarawak Tribune, Lester Melanyi baru-baru ini. "Kedua-dua kes ini kita siasat mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana terdapat unsur-unsur untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara tidak demokratik. "Kita telah mulakan siasatan pada hari pendedahan dibuat oleh polis Thailand dan kita juga telah merakamkan percakapan Lester dan sedang buat tindakan susulan di atas percakapannya," katanya. Mengulas lanjut Khalid berkata perkara ini amat serius dan mengejutkan, justeru siasatan akan dilakukan dengan berhati-hati dan terperinci. Katanya, selain polis Thailand PDRM juga akan berkerjasama dengan polis Singapura. "Tapi fokus kita sekarang adalah menunggu kebenaran daripada polis Thailand untuk temubual Justo," katanya. Jelasnya, sebaik sahaja siasatan polis selesai kertas siasatan akan dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.