KUALA LUMPUR: Kerosakan brek gerabak tren Transit Aliran Ringan (LRT) mengakibatkan operasi ke laluan Kelana Jaya tergendala awal pagi Rabu. RapidKL berkata, tren di Stesen Setiawangsa mengalami masalah brek dan untuk keselamatan semua pihak perkhidmatan ditangguh sementara, manakala gerabak terbabit digerakkan ke landasan lain. "Kami mengesan bau terbakar dan gerabak tren terbabit dipindahkan menyebabkan penangguhan sehingga 15 minit perkhidmatan LRT," kata RapidKL menerusi Twitter. Perkhidmatan LRT itu berjalan seperti biasa pada 9 pagi. Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Azizan Ismail berkata, lima anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba Keramat digerakkan ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada jam 8.31 pagi. "Siasatan awal mendapati kebakaran berpunca daripada masalah brek. Api dapat dikawal dalam masa tiga minit dan padam sepenuhnya kira-kira 20 minit kemudian," katanya. Katanya, anggota yang tiba ke lokasi tujuh minit kemudian mendapati asap tebal memenuhi ruang di satu daripada empat gerabak tren itu. "Ketika bomba tiba, gerabak sudah dikosongkan dan kereta api itu digerakkan ke lokasi landasan yang lebih selamat oleh petugas LRT.