suria

Kehidupan Anjing Jalanan Lebih Buruk Di Tempat Perlindungan

Salah seorang sukarelawan HOPE memberi makanan kepada anjing-anjing yang ditemui kurus dan kelaparan di tempat perlindungan di Taman Delima 2, Johor Bahru, Rabu.
JOHOR BAHRU: Anjing-anjing jalanan yang dipelihara sepatutnya diselamatkan, dijaga dengan baik dan diberikan makanan serta perlindungan.

Bagaimanapun, kira-kira 30 ekor anjing di tempat perlindungan di Taman Delima 2 di sini didapati kekurangan nutrisi dengan penuh kutu di badan.

Sukarelawan dari Homeless and Orphan Pets Exist (HOPE), yang datang untuk meninjau keadaan di sini tidak dapat menyelamatkan anjing-anjing ini kerana pemilik tempat perlindungan tidak membenarkan mereka mengambilnya.

Satu perang mulut tercetus antara sukarelawan dan pemiliknya, seorang wanita dalam lingkungan usia 50-an dalam kekecohan yang berlaku kira-kira sejam, Rabu.

Anjing-anjing dilihat berbaring di tempat sisa buangan sendiri sambil dapat dihidu bau busuk yang kuat. Ada yang dirantai dalam sangkar.

Sukarelawan segera memberi makan kepada anjing-anjing tersebut dengan makanan kering dan air bersih.

Pemilik tanah, Kenny Tan, 52, berkata beliau membenarkan wanita itu menggunakan sebahagian daripada tanahnya apabila wanita itu bertemu dengannya tiga tahun lalu.

Difahamkan, pengendali tempat perlindungan itu bermasalah dengan pihak berkuasa tempatan beberapa kali sebelum ini, termasuk pada tahun 2012 kerana menyimpan kira-kira 80 ekor anjing di dalam sebuah rumah dua tingkat.

Wanita itu, yang enggan namanya disiarkan, mempertahankan tempat perlindungan itu, mengatakan bahawa dia memberi makan anjing setiap hari dan haiwan-haiwan itu telah disuntik dan tidak mempunyai penyakit.

Selepas dua jam memujuk, sukarelawan HOPE Iris Leong berkata wanita itu akhirnya membenarkan mereka membersihkan tempat perlindungan itu dan menghantar anjing untuk dikasi dan mendapatkan rawatan perubatan.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Johor Bahru Mohd Firdaus Abdul Hamid berkata wanita itu telah diberi amaran dan diberi nasihat berulang kali.

"Kami melihat perkara ini sebagai serius dan akan mengeluarkan notis untuk membersihkan kawasan itu," katanya.

HOPE, anjing jalanan

Artikel Lain