suria

Kerusi Pasangan Di Pawagam Bukan Untuk Pengunjung Islam Belum Berkahwin

SERI ISKANDAR: Arahan supaya tiket kerusi pasangan di pawagam tidak dijual kepada mereka yang belum berkahwin hanya terpakai untuk pengunjung beragama Islam sahaja, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pengangkutan, Hal Ehwal Bukan Islam, Integrasi Nasional dan Kampung Baharu negeri Datuk Dr Mah Hang Soon.

Dr Mah berkata, arahan yang dikeluarkan kepada Lotus Five Star (LFS) Cinema di D'Mall tidak terpakai kepada bukan Islam.

Majlis Daerah Perak Tengah mengeluarkan notis dua tahun lalu memandangkan pawagam itu terletak dalam masyarakat yang kebanyakannya beragama Islam.

Yang Dipertuanya, Mad Dan Hassan berkata notis itu hanya untuk pengunjung Islam dan perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat penuh lembaga hampir dua tahun lalu, dan notis itu telah dikeluarkan kepada pawagam pada 26 September 2013.

"Setakat ini, kami tidak menerima sebarang aduan daripada orang ramai atau pun pawagam, dan kami juga tidak mengeluarkan apa-apa tindakan ke atas pawagam jika ia melanggar notis itu," katanya kepada pemberita di Ipoh, Rabu.

Beliau mengulas mengenai isu itu yang dilaporkan dalam beberapa akhbar dan laman sosial baru-baru ini.

Seri Iskandar adalah hab pendidikan, di mana di situ juga terletak Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

Tiga pawagam LFS lain di Ipoh, Kampar dan Parit Buntar tidak memaparkan notis tersebut.

Ditanya sama ada majlis akan mengambil tindakan yang perlu jika pasangan Islam yang belum berkahwin bertegas membeli kerusi pasangan itu, Mad Dan berkata majlis tidak menerima sebarang aduan dan tidak akan menarik balik notis itu.

Dr Mah berkata, sekarang adalah masa terbaik untuk kedua-dua pihak berbincang untuk penapisan dan mengkaji semula notis itu.

Beliau akan mempertahankan hak-hak orang bukan Islam, dan dalam hal ini ia jelas bahawa notis hanya terpakai untuk orang Islam sahaja.

"Hormat adalah kunci untuk agama dan budaya yang berlainan, dan saya benar-benar menentang idea membatalkan lesen panggung wayang itu.

"Pawagam ini hanya mengikut arahan majlis tempatan," kata beliau.

Jurucakap LFS berkata, beliau tidak faham mengapa isu itu digembar-gemburkan sedangkan notis itu telah berada di situ selama dua tahun yang lalu.

Beliau berkata, tiada aduan daripada pelanggan Islam apabila diberitahu bahawa kerusi pasangan itu hanya untuk pasangan suami isteri.

Pelajar undang-undang Muhammad Irfan Shahril, 20, yang ditanya mengenai arahan itu, merasakan ia melanggar kebebasan.

"Saya rasa tidak sepatutnya ada apa-apa peraturan bagi pasangan Islam yang belum berkahwin.

"Perbuatan tidak sopan tidak boleh dilakukan di tempat-tempat awam, dan sebagai umat Islam kita mestilah menjaga akhlak setiap masa.

"Pawagam adalah tempat di mana orang pergi untuk menonton filem-filem yang bagus, bukan melakukan hal yang tidak senonoh," kata pelajar dari Bangi itu.

Seorang lagi pelajar Fatin Liyana Mokhtar, 19, berpandangan notis tersebut adalah langkah yang baik kerana sebagai orang Islam, ia akan menggalakkan perbuatan sumbang.

Fatin berkata, setakat ini dia tidak pernah mendengar sebarang perbuatan tidak senonoh dilakukan di pawagam itu.

"Kadang-kadang saya juga pergi menonton filem, tetapi tidak pernah melihat pasangan Islam yang belum berkahwin duduk di kerusi itu," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain