KUALA LUMPUR: Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh bersetuju supaya mahasiswa universiti diberi ruang lebih luas dalam sistem demokrasi negara, termasuk melibatkan diri dalam politik. Bagaimanapun menurutnya, kebebasan yang dimaksudkan tidak bersifat mutlak kerana ia perlu disokong oleh rasa tanggungjawab. Jelas Ahli Parlimen Besut itu lagi, tindakan meminda Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) pada 2012 bagi membolehkan mahasiswa berpolitik adalah transisi keterbukaan kerajaan. "Apa yang dilakukan kerajaan adalah proses transisi, demokrasi bukan segala-galanya kerana apa sahaja kebebasan yang diberikan mesti ada tahap tanggungjawab. "Bagi saya mahasiswa perlu diberi kebebasan yang lebih tetapi ia perlu datang dengan rasa tanggungjawab," katanya pada program #TanyaGomen mengenai sistem pendidikan negara di sini, Khamis. Terdahulu beliau menjawab soalan mahasiswa sebuah universiti luar negara berhubung halangan terhadap Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli untuk berucap pada forum Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) anjuran Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Islam Antarabangsa (UIA), baru-baru ini. Mahasiswa berkenaan bertanya mengenai sejauh mana mahasiswa di negara ini diberi kebebasan berpolitik khususnya di kampus selepas pindaan Auku. Mengulas lanjut, Idris memberi contoh insiden rempuhan pagar di Universiti Malaya (UM) pada Oktober tahun lalu ketika penganjuran pidato bersama bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Katanya, program berkenaan boleh dilaksanakan dengan baik dan aman sekiranya penganjur mematuhi prosedur yang ditetapkan pihak universiti. "Kita lihat di UM. Pensyarah, dekan beritahu mereka boleh bagi kebenaran untuk Anwar masuk ke kampus, tapi perlu tulis surat. "Tapi tak ada surat pun ditulis kepada Naib Canselor. Anwar sepatutnya dibenarkan bercakap dalam bilik kuliah tapi dia nak berceramah di tepi jalan. "Kalau kita rempuh pagar. Itu adalah sikap yang tidak bertanggungjawab, kurang baik," katanya.