suria

Jangan Anggap DAP Seperti Wali - Hadi

Abdul Hadi Awang.

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Khamis mengingatkan anggota parti itu tidak menjadikan DAP sebagai "wali" atau ketua. 

Beliau berkata, hanya anggota parti yang sedar mengenai perjuangan Islam bersama fadilatnya dapat membezakan antara kawan dan wali. 

"(Mereka) boleh berkawan dengan kalangan DAP dan sepertinya, tetapi tidak boleh berwalikan DAP kerana tidak beriman dan budiman," katanya dalam satu kenyataan di sini, Khamis. 

"Mereka yang tidak ada kefahaman dan kemanisan (perjuangan Islam) tersebut, sanggup hidup dan mati bersama kalangan DAP dan yang sewaktu dengannya, kerana tidak membezakan di antara kawan dan wali," katanya dalam kenyataan media bertajuk "Kepada sesiapa yang berkenaan PAS sahaja." 

Kenyataan Abdul Hadi itu sebagai reaksi kepada tindakan sekumpulan pemimpin PAS yang diketuai oleh bekas timbalan presiden PAS, Mohamad Sabu yang telah menubuhkan parti serpihan, Gerakan Harapan Baharu (GHB) yang diuar-uarkan akan menggantikan PAS dalam gabungan parti pembangkang.

GHB dijadual ditubuhkan pada 14 September depan.

Beliau juga turut memuji anggota PAS yang tidak 'merajuk' dan terus beristiqamah atau taat menjalankan sesuatu urusan walaupun tidak terpilih dalam muktamar PAS atau tidak tercalon dalam pilihan raya dan 'tidak mendapat projek dan balak'. 

"Mereka yang merasakan dirinya sangat bijak tanpa hubungan erat dengan Allah pasti tidak selamat dengan rasa bijaknya sahaja, tetapi tidak mampu mengubah dasar, mengalih matlamat kerana ingin mencapai cita-citanya yang segera menggunakan PAS. 

"Sesiapa yang terkeliru tidak mengikuti PAS daripada awal dan pula hanya memintas di tengah jalan, hanya meramal untuk menang dunia sahaja," katanya.

Abdul Hadi berkata, sesiapa yang tidak istiqamah di atas aqidah, dasar dan matlamat pasti akan berundur, melompat, terlompat atau dilempar keluar dari jemaah.

"Sesiapa yang hanya ingin berlakon, Allah Maha Mengetahui dia hanya pelakon dan dikeluarkan tanpa diduga dan disangka, bersama pelakon tambahannya," katanya.

Artikel Lain