suria

Musibah Uji Kesabaran Jemaah

ASSALAMUALAIKUM. Minggu lalu saya menulis mengenai dugaan dan cabaran pembaca Jelita yang menyertai kembara umrah pada 26 Mei  2008 ketika ziarah di Madinah. Segala ujian berjaya ditempuh dengan penuh kesabaran oleh jemaah.

Setelah empat hari tiga malam di Madinah, kami berangkat ke Makkah untuk menyempurnakan rukun umrah iaitu tawaf, saie dan tahalul. Cabaran tidak terhenti di Madinah kerana di Makkah sekali lagi ujian melanda jemaah dan diri saya sendiri yang ketika itu adalah Pengarang Jelita.

Selepas menyempurnakan umrah wajib, saya dan jemaah lain dikejutkan dengan musibah yang melanda empat jemaah umrah setelah bilik penginapan mereka dimasuki pencuri di antara jam 1 pagi hingga 6 pagi. Kami menginap di Hotel Zahret Shams di Jalan Ibrahim Khalil di kawasan Misfalah, yang terletak kira-kira 350 meter dari perkarangan Masjidil Haram.

Sukar menerima kenyataan itu tetapi  jemaah perlu akur dengan hakikat kejadian. Begitulah yang dialami empat jemaah  wanita sekembali dari menunaikan solat Subuh berjemaah di masjid. Segala wang pemberian waris dan saudara mara lenyap dalam sekelip mata.

Jumlah dicuri membabitkan ribuan ringgit sehingga mereka tidak mampu mengeluarkan kata-kata tatkala kali pertama saya menegur untuk mengetahui keadaan dialami selepas dimaklumkan oleh ketua rombogan, Tengku Abdul Rahman Tengku Abdullah atau lebih dikenali sebagai Pak Engku.

Mereka bersila di depan bilik hotel dan enggan masuk kerana begitu fobia melihat keadaan berselerak akibat dipunggah oleh perompak. Mereka mohon ditukarkan ke bilik lain kerana tidak berani untuk memasuki bilik itu semula.

Hampir RM10,000 milik tiga jemaah lesap dan hanya seorang jemaah yang duitnya gagal ditemukan oleh perompak berkenaan. Namun, barangan lain seperti kamera dan telefon bimbit tidak pula diambil oleh pencuri. Mungkin tidak perasan atau tidak ada masa untuk terus menyelongkar.

Semua jemaah simpati dan mengeluarkan sumbangan kepada jemaah terbabit. Mereka tidak meminta tetapi semua jemaah akur dengan kesugulan yang terpancar daripada raut wajah mereka.

Disebabkan pihak pengurusan hotel gagal mengesan pencuri dan semua kakitangan hotel bersumpah tidak mengambil wang milik jemaah, pemilik hotel akhirnya menggantikan duit yang hilang kepada jemaah berkenaan.

Kami bersyukur kerana pemilik hotel berbangsa Arab begitu peka dan prihatin terhadap musibah yang melanda jemaah berkenaan. Alhamdulillah.

Kembara kami di bumi Haramain berjalan lancar. Beribadat dan ziarah ke destinasi bersejarah. Semua tampak gembira dan bersyukur. Semua bersatu hati dan tidak pula menimbulkan kesulitan.

Jemaah cuba merasai susu unta ketika melawat ladang haiwan itu menerusi program ziarah.

Dua hari sebelum berangkat pulang, saya pula diuji. Dugaan cukup besar bagi saya dan tidak pernah saya lalui sebelum ini walaupun sudah beberapa kali menjejakkan kaki ke Tanah Suci Makkah. Setelah selesai menyempurnakan umrah sunat selepas solat Zuhur, saya pulang semula ke hotel untuk makan tengah hari dan berehat seketika. 

Di dalam bilik, ada ibu bapa dan anak saya, Humaira. Saya lantas merendam beberapa helai pakaian di dalam bilik air sebelum melepaskan penat lelah di atas katil. Tertidur seketika dan terjaga hampir jam 3.30 petang.

“Ibu, Ana nak pergi solat Asar di masjid,” ujar saya pada ibu yang masih baring di atas katil.

“Tak penat ke Ana? Kan tadi buat umrah,” tanya ibu.

“Bolehlah. Sekejap saja Ana pergi solat,” balas saya.

Ibu hanya diam tidak membalas.

Saya bergegas ke masjid kerana azan sudahpun berkumandang. Tidak terlalu ramai jemaah pada waktu itu dan saya dapat menunaikan solat Asar berjemaah. Usai solat, saya pulang sendirian kerana ibu bapa dan Humaira tiada bersama ketika itu. Adik saya, Imran dan keluarga di dalam bilik lain manakala seorang lagi adik saya, Shahril berkongsi bilik dengan tiga lagi jemaah lelaki lain. Jadi, tidaklah saya bertemu mereka pada waktu itu.

Sedang saya berjalan pantas di deretan bazar di kawasan Misfalah, tiba-tiba saya tersungkur di depan bazar yang menjual tasbih dan al-Quran.Permukaan jalan di depan bazar itu tidak begitu rata dan keasyikan saya memerhati bazar di sebelah kiri saya mungkin antara penyebab saya tersungkur di depan khalayak. Alhamdulillah, ramai wanita yang membantu saya ketika itu.

Mereka memegang kedua-dua lengan dan membantu membangunkan saya yang tersungkur dengan tiba-tiba. Tindakan spontan itu membolehkan saya berdiri dan berjalan semula walaupun terasa agak sakit pada tangan dan kaki.

Saya terasa sukar untuk berjalan mengangkat kaki. Namun, saya gagahkan juga untuk melangkah pulang ke Zahret Shams yang perlu saya lalui kira-kira 200 meter lagi.

“Ana jatuh….” Ujar saya sejurus ibu membuka pintu.

“Hah? Jatuh di mana? Bila jatuh ni? tanya ibu terperanjat.

“Depan kedai jual quran dan tasbih. Jatuh lepas solat Asar,” jawab saya menahan sakit.

“Itulah ibu dah cakap tadi, tak penat ke ulang alik ke masjid.  Baru balik ziarah dan buat umrah lagi,  mestilah penat…” balas ibu mengingatkan saya.

Saya hanya diam seribu bahasa. Tidak mampu meluahkan sebarang kata kerana tubuh terasa letih, kaki mula berdenyut. Saya baring di atas katil. Humaira dan bapa memerhati dengan wajah runsing penuh simpati.

Tidak sampai satu jam, kaki saya semakin sakit dan mula membengkak. Saya tidak mampu untuk ke masjid malah kaki terasa sakit apabila berdiri apatah lagi mahu berjalan. Shahril dan Imran terkejut melihat keadaan saya. Begitu juga Maisarah, isteri Imran.

“Ibu,, Ana tak boleh pergi masjid untuk solat Maghrib. Kaki Ana sakit hendak berjalan. Ibu pergilah dengan Humaira,” ujar saya.

“Rehatlah. Insha Allah sihat nanti…” balas ibu mula risau.

Sekembali Ibu dan Humaira dari masjid setelah selesai solat Isyak, kaki saya makin membengkak dan saya mula terasa amat sedih dengan keadaan yang dialami.

“Ibu, Ana nak ke hospital. Takkan nak biarkan keadaan macam ini,” pinta saya.

“Baiklah. Ibu bagi tahu Pak Engku nanti,” balas ibu.

Setelah mereka berbincang pada malam itu, Imran, Zuraini (Ketua Acara dan Promosi Berita Publishing ketika itu), Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid yang bertindak sebagai pembimbing kepada jemaah Jelita membawa saya ke hospital.

Saya dibawa ke Poliklinik Asia, yang terletak kira-kira satu kilometer dari Zahret Shams dengan menaiki teksi. Ibu bapa dan Humaira memerhatikan saya dengan penuh simpati ketika dipapah dan ditolak dengan kerusi roda untuk menaiki teksi.

Mujur ada Ustaz Wan Akashah yang fasih berbahasa Arab kerana beliau membantu melancarkan lagi urusan di poliklinik itu.

“Apa berlaku pada anda?” tanya doktor yang memeriksa saya dalam Bahasa Inggeris.

“Saya terjatuh dan sekarang kaki saya terasa sakit serta bengkak,” jawab saya.

“Awak perlu jalani pemeriksaan sinar-X dan sebelum itu perlu ambil suntikan menahan sakit…” kata doktor itu lagi dan mengarahkan jururawat wanita membawa saya ke dalam bilik lain.

Zuraini menemani saya ke dalam bilik rawatan lain dan jururawat itu memberi suntikan sejurus kemudian. Tidak lama selepas itu saya menjalani pemeriksaan sinar-X pula. Selepas 15 minit, saya masuk semula ke dalam bilik doktor dan kesakitan mula berkurangan. 

“Awak bertuah  kerana tulang tidak patah. Ligamen saja yang terkoyak. Jika patah, anda tidak boleh pulang ke Malaysia…” ujar doktor itu sambil tersenyum.

“Alhamdulillah…” jawab saya ringkas.

“Bila pulang ke Malaysia,” tanya doktor itu lagi.

“Insha Allah Jumaat ini,” jawab saya.

“Awak perlu berehat dan solat di hotel sahaja. Jangan banyak bergerak,” pesan doktor berkenaan.

“Baiklah. Terima kasih,” balas saya.

Imran kemudiannya mendapatkan slip ubat untuk membelinya di farmasi. Ustaz Wan Akashah pula keluar dari bangunan poliklinik untuk mendapatkan teksi manakala Zuraini menolak kerusi roda yang saya naiki. Alhamdulillah Allah permudahkan segala urusan kami.

Saya berehat dan hanya solat di dalam kamar selama dua hari, iaitu pada Rabu dan Khamis. Namun, saya meminta Shahril membawa saya ke masjid pada pagi Jumaat untuk solat Subuh dan seterusnyanya tawaf wada’.

“Boleh tolak aku ke masjid esok? Datanglah sebelum Subuh. Aku nak solat Subuh. Lepas tu dhuha dan tolak aku masa tawaf wada’?” tanya saya  dengan segunung harapan.

“Boleh insha Allah,” jawab Shahril ringkas tanpa sebarang bantahan.

Esoknya, pada azan pertama, Shahril sudah menolak saya ke Masjidil Haram untuk menunaikan solat Subuh.  Begitu sebak dengan keadaan dialami namun bersyukur kerana masih berpeluang untuk solat berjemaah. Humaira menemaniku.

Penulis terpaksa berkerusi roda untuk menjalani ibadah umrah akibat ligamen terkoyak.

Selesai solat Subuh, Humaira menolak saya ke perkarangan Masjidil Haram manakala Shahril pula membelikan saya kebab sebagai mengalas perut untuk sarapan. Selesai makan, Humaira membawa saya masuk ke dalam masjid semula untuk saya mengerjakan solat sunat dhuha.

Selesai dhuha, saya bertemu Shahril semula di perkarangan Masjidil Haram bersama-sama ibu bapa saya. Shahril kemudiannya menolak saya untuk menyempurnakan tawaf wada’ manakala ibu bapa saya dan Humaira menunaikannya bertiga.

Tidak dapat saya lupakan tawaf wada’ itu kerana saya berkerusi roda dan ditolak oleh adik saya. Saya menangis sepanjang tawaf. Tidak mampu mengawal emosi yang begitu meruntun kalbu saya ketika itu kerana perlu melalui ujian yang cukup besar.

Segala ujian itu tidak mematahkan semangat saya untuk terus mengunjungi Baitullah, malah, semangat saya semakin kuat untuk terus berdoa agar diundang sebagai tetamu Allah pada saban tahun. Selesai tawaf, Shahril menolak saya semula ke hotel dan sejurus tiba di bilik hotel, saya mampu berdiri dan berjalan walaupun agak lambat. Saya ke lobi untuk bertemu Pak Engku kerana ada perkara penting yang perlu dimaklumkan kepada jemaah.

“Pesawat kita ditunda hingga malam ini. Jadi kita lewat sedikit keluar dari Makkah,” ujar Pak Engku.

“Tak mengapalah Pak Engku. Lebih baik ada di Makkah daripada duduk lama di lapangan terbang di Jeddah,” ujar saya pula.

“Eh, Ana dah boleh jalan…” ujar Pak Engku dan Ustaz Wan Akashah  terkejut.

“Alhamdulillah. Selepas tawaf tadi,” balas saya ringkas.

“Menakjubkan,” jawab Pak Engku pula.

Jemaah lain turut bersyukur melihat saya boleh berjalan semula walaupun saya begitu berhati-hati dengan setiap langkah.

Ketika di Jeddah, Zuraini menghampiri saya dan berkata: “Allah pilih kak Ana untuk hadapi ujian ini. Bayangkanlah jika jemaah lain yang jatuh. Tentu sukar.

Saya faham maksud beliau dan mengangguk. Hakikatnya, didik hati untuk sentiasa tabah dan sabar dengan setiap ujian yang ditempuhi apatah lagi jika berlaku di Tanah Suci kerana ia sangat baik untuk kita muhasabah diri dan merenung segala kesilapan diri.


Hotel Zahret Shams, Misfalah, Makkah

Artikel Lain