suria

Dakwaan Justo: Jawapan Balas The Edge

PENGERUSI The Edge Media Group, Tong Kooi Ong dan penerbit The Edge, Ho Kay Tat mengeluarkan kenyataan sebagai maklum balas terhadap dakwaan Xavier Andre Justo seperti yang disiarkan akhbar Singapura, The Straits Times pada Jumaat.

Justo yang ketika ini ditahan polis Thailand didakwa mengugut  majikannya, PetroSaudi International.

Berikut adalah kenyataan penuh mereka.

Ya, kami memperdaya Justo berkaitan bayaran sebanyak AS$1.83 bilion untuk mendapatkan bukti komplot terbabit.

Merujuk kepada berita menerusi The Straits Times hari ini di mana Xavier Andre Justo mendakwa kami tidak membayar seperti dijanji untuk maklumat yang diberikan membabitkan skandal usaha asama 1MDB-PetroSaudi International.

Pertama, wartawan The Straits Times tentunya ada jaringan untuk berhubung dengan Justo di penjara Bangkok.

Malahan, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar yang kini berada di Bangkok juga masih tidak dibenarkan menemui Justo.

Kami tertanya-tanya, kuasa ghaib manakah yang mengatur supaya Nirmal Ghosh dari akhbar Singapura itu untuk bertemu Justo untuk menyerang kami?

Jelas, Justo masih marah dan tentunya kerana kami tidak menyerahkan bayaran seperti mana yang diingininya.

Ya, kami memperdaya dia. Tetapi itu adalah satu-satunya cara untuk mendapatkan bukti bagi mendedahkan bagaimana sekumpulan rakyat Malaysia dan warga asing menipu rakyat Malaysia sejumlah AS$1.83 bilion (RM6.97 bilion).

Kenyataannya mengesahkan apa yang kami katakan sebelum ini, iaitu kami tidak membayar sesiapa.

Mengenai dakwaan Justo bahawa kami memberitahunya hasrat mengubah dokumen dan objektif untuk menjatuhkan kerajaan, tentunya jika kami mempunyai matlamat sedemikian, kami tidak akan maklumkan kepada sesiapa yang ditemui pertama kali. Lebih-lebih lagi jika dia bimbang kami tidak akan membayarnya apa yang dikehendakinya.

Tiada perubahan dilakukan kerana kami laksanakan cap jari digital pada cakera keras yang mengandungi 400,000 emel dan dokumen bagi melindunginya.

Apa yang ada dalam cakera itu telah diserahkan kepada Bank Negara Malaysia, polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), salinan sama yang diserahkan Justo kepada kami di mana dia katakan tidak mengubahnya.

Selain itu, bagaimana aliran wang terbabit dimasukkan ke akaun beberapa individu di beberapa bank global di negara tertentu pula diserahkan kepada polis dan ia boleh disahkan penyiasat dengan bantuan rakan penyiasat di negara terbabit.

Bagaimanapun hal ini bukan berkaitan Justo atau mengenai kami.

Ia berkaitan komplot untuk menipu rakyat Malaysia membabitkan AS$1.83 bilion menerusi usahasama 1MDB-PetroSaudi.

Juga mengenai siasatan agensi kerajaan terhadap 1MDB di mana ia syarikat yang hampir muflis dan perlu diselamatkan bagi mengesahkan tindakan The Edge Media Group mendedahkan apa yang telah berlaku.

Kami tidak melakukan sebarang kesalahan, malahan membantu penyiasat, bukan seperti pihak tertentu yang bertindak menghilangkan diri.


Artikel Lain