PUTRAJAYA: Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak menjadi perhatian di rumah terbuka Hari Raya bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi di sini. Apabila beliau berjalan ke arah abangnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Abdullah yang sedang berbual, jurugambar dan juga tetamu tidak melepaskan peluang merakamkan detik-detik ini. Terkini, Nazir mengutuk langkah penggantungan permit The Edge oleh Kementerian Dalam Negeri berhubung laporannya mengenai 1Malaysia Development Bhd (1MDB). "Ia bukan untuk The Edge. Ia adalah untuk kebebasan pendapat, kebebasan bersuara, itu sahaja. "Ini bukan mempertahankan sesiapa, ini adalah prinsip kebebasan media," kata Nazir, apabila wartawan bertanya mengenai pandangannya tentang penggantungan itu pada Ahad. "Saya telah berbual secara peribadi dengan abang saya, saya tidak akan berkongsinya dengan anda," Nazir berkata demikian ketika ditanya sama ada beliau ada bercakap dengan Perdana Menteri mengenai The Edge. Apabila ditanya bagaimana keluarga berdepan perkara ini, jawapannya adalah "okay lah". Najib, yang hadir bersama isteri Datin Seri Rosmah Mansor, enggan bercakap kepada media. Abdullah telah memberi beberapa perkataan kepada pemberita sebagai mengulas mengenai majlis itu, yang dihadiri oleh beribu-ribu tetamu. Isterinya Tun Jeanne Abdullah turut hadir pada majlis itu. Tetamu VIP lain yang hadir termasuk Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Norainee Abdul Rahman, bekas menteri kabinet Tan Sri Dr Rais Yatim dan Ketua Eksekutif Kumpulan AirAsia Tan Sri Tony Fernandes.