suria

Waris Keluarga MH370, MH17 Bertemu Di Rumah Terbuka Aidilfitri

SHAH ALAM: Meskipun pesawat penerbangan Malaysia (MAS) MH370 sudah hilang lebih setahun yang lalu, anak salah seorang pramugari pesawat itu masih tertanya-tanya mengenai ibunya.

Suami, Foong Wai Yueng, Lee Khim Fatt berkata, dua anak mereka masing-masing berusia 11 dan lima tahun ada kalanya masih bertanya dimanakah ibu mereka berada dan 'bila dia akan pulang?'.

"Mereka selalu bertanya pada tahun pertama selepas insiden tersebut. Saya menjelaskan bahawa ibunya sudah tiada atau kerajaan masih lagi mencarinya.

"Mereka sudah mula memahami dan kurang bertanya mengenai ibu mereka sekarang," katanya ketika ditemui pada sambutan rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri keluarga mangsa MH370 dan MH17 di sini, Ahad.

Seramai 11 keluarga mangsa hadir pada majlis di Serambi Cafe, anjuran Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (Nufam).

Lee, 45, seorang jurujual dari Subang berkata keluarganya kini meneruskan kehidupan mereka walaupun nasib Foong masih belum diketahui.

"Namun kami tidak akan lupa apa yang berlaku sehingga hari ini dan masih mahukan jawapan," katanya.

Lee berkata beliau kerap bertemu dengan keluarga mangsa yang lain untuk mendapatkan sokongan.

"Saya menganggap Jacquita Gomes, isteri kepada penyelia penerbangan MH370 Patrick Francis Gomes, sebagai rakan rapat," katanya.

Gomes, 53, yang sentiasa menyibukkan dirinya membantu urusan di pusat jagaan harian, menjahit dan menjaga cucunya berusia empat tahun berkata keluarga mangsa MH370 berhak mendapat jawapan.

"Ia sudah terlalu lama," katanya.

Suami pramugari Lee Hui Pin, Wong Kin Wah berkata beliau masih merindui isterinya.

"Namun hidup perlu diteruskan dan saya mendedikasikan hidup saya dengan menjaga tiga anak kami sekarang," katanya.

Isteri kepada pramugara MH370 Junaidi Mohd Kassim, Norazlinda Ayub, 40, masih tidak berputus harap bahawa suaminya akan pulang dengan selamat suatu hari nanti.

"Namun saya menyerahkan segalanya kepada Allah," katanya.

Presiden Nufam, Ismail Nasaruddin berkata kesatuan itu akan terus membangkitkan isu berkaitan dengan keluarga MH370 dan MH17 serta membantu mereka menyuarakan masalah yang dihadapi.

Pesawat MH370 yang membawa 239 penumpang hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac 2014.


Mh370, Mh17, Nufam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain