KUALA LUMPUR: Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) memohon untuk mengetepikan keputusan timbang tara yang diberikan kepada persatuan juruterbang berhubung jadual tugas dan hari cuti. Keputusan bertarikh 27 April itu menyatakan semua ahli Persatuan Juruterbang Malaysia Airlines (Mapa) boleh mendapatkan hari cuti selama dua hari apabila mereka berada jauh dari KLIA atau kurang daripada lima hari. Ia diputuskan panel timbang tara, Ernest Jai Kumar Azad mengenai klausa yang terkandung dalam memorandum persefahaman mereka pada 2007-2010. Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Abu Bakar Jais menetapkan 24 Ogos untuk mendengar permohonan oleh MAS. Peguam utama MAS, Ang Hean Leng berkata tuntutan mahkamah itu berkaitan interpretasi MoU antara MAS dan persatuan tersebut. "Kami mengatakan bahawa juruterbang perlu berada jauh dari KLIA sekurang-kurangnya lima hari untuk mendapat cuti rehat selama dua hari. "Pesatuan juruterbang itu berkata mereka berhak mendapat cuti dua hari sekiranya jauh dari KLIA selama lima hari. "Kami mengatakan ia sebagai interpretasi yang betul kerana amat sukar untuk melakukan penjadualan," kata Ang. Peguam Mapa, D.S.Prasad berkata kedua-dua pihak perlu memfailkan permohonan bagi pendengaran yang sah pada 24 Ogos. Antara lain, keputusan tersebut menyatakan bahawa pekeliling bertarikh 16 Julai tahun lalu dikeluarkan oleh MAS kepada semua juruterbang berdasarkan tafsiran Klausa 21.6 adalah tidak sah dan tidak berkesan. Dalam saman pemula yang difailkan pada Mei tahun ini, MAS meminta mahkamah untuk mengetepikan keputusan itu secara keseluruhan atau bahagian yang berkaitan dengan jadual tugas dan hari cuti tersebut.