KUALA LUMPUR: Pendengaran permohonan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memadamkan beberapa perenggan dalam afidavit sokongan yang difailkan Anggota Parlimen Petaling Jaya Utara Tony Pua Kiam Wee dalam saman berhubung isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditangguhkan ke 25 Sept ini. Hakim Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin Meera menetapkan tarikh itu dalam kamarnya dengan dihadiri peguam Choo Shi Jin yang mewakili perdana menteri dan peguam Alliff Benjamin Suhaimi yang mewakili Pua. Alliff ketika ditemui pemberita berkata sepatutnya mahkamah mendengar permohonan itu hari ini tetapi ditangguhkan ke 25 Sept kerana peguam utama yang mewakili perdana menteri mempunyai tugasan di luar negara. Beliau berkata tarikh sama juga ditetapkan untuk mendengar permohonan Najib bagi memadamkan beberapa perenggan dalam pernyataan pembelaan difailkan Chan Chee Kong, pemilik Mediarakyat.net portal, serta mendengar permohonan Pua untuk membatalkan saman Najib. Najib, atas kapasiti peribadinya, memfailkan saman fitnah itu pada 5 Mac lepas dan menamakan Pua, 42, dan Chan, 51, sebagai defendan pertama dan kedua. Dalam pernyataan tuntutannya, Najib berkata pada 13 Nov tahun lepas, Pua, sebagai penceramah utama pada jamuan malam kutipan dana DAP, telah mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah mengenai 1MDB. Beliau berkata rakaman ucapan itu telah dimuat naik oleh Chan sendiri dan/atau ejennya dalam laman YouTube Mediarakyat dan laman web Mediarakyat yang didakwa menggunakan tajuk berunsur fitnah. Najib berkata rakaman ucapan itu mengandungi perkataan yang merujuk dan berkaitan dengan dirinya dan memfitnahnya dan individu dikenali sebagai 'perdana menteri' dan semestinya merujuk secara spesifik kepada dirinya (Najib) Najib mendakwa perkataan-perkataan fitnah itu antara lain membawa maksud bahawa beliau telah merompak duit rakyat berkaitan urus niaga 1MDB dan oleh itu beliau adalah seorang yang tidak boleh dipercayai dan tidak layak memegang jawatan awam. Beliau berkata penerbitan perkataan-perkataan fitnah itu telah merosakkan reputasinya kerana rakaman ucapan itu boleh diakses secara meluas dan mudah di seluruh dunia melalui internet, blog, forum dan laman web tanpa sebarang sekatan dan boleh dikongsi semula. Sehubungan itu, Najib menuntut ganti rugi am, teladan, kos dan perintah injunksi bagi menahan defendan pertama dan kedua atau ejen-ejen mereka daripada menerbitkan lagi perkataan-perkataan fitnah itu terhadapnya.