suria

Najib Pengerusikan Mesyuarat Kabinet Baharu

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Rabu mempengerusikan mesyuarat pertama Kabinet selepas melakukan rombakan dengan melantik beberapa menteri baharu semalam.

Mesyuarat itu, yang bermula kira-kira 2.30 petang di Perdana Putra di sini, menyaksikan menteri-menteri berkenaan ceria dan saling berjabat tangan sambil mengucapkan tahniah kepada satu sama lain sebelum beredar masuk ke bilik mesyuarat.

Enam menteri baharu yang menghadiri mesyuarat itu ialah Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainudin, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan), Senator Datuk Seri Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak (Menteri Komunikasi dan Multimedia), Datuk Seri Azalina Othman Said (Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Datuk Seri Ong Ka Chuan (Kedua Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Wilfred Madius Tangau tidak menghadirinya kerana dilaporkan berada di Itali.

Pejabat Perdana Menteri dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) turut merakamkan gambar menteri-menteri berkenaan secara individu.

Ia adalah mesyuarat Kabinet pertama bagi Hamzah, Wan Junaidi, Mahdzir dan Mohd Salleh, namun bukan bagi Azalina, yang pernah memegang jawatan Menteri Belia dan Sukan dan Menteri Pelancongan, serta Ong yang pernah menyandang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Semalam, Najib mengumumkan barisan baharu Kabinet dalam satu sidang berita dengan menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan menggantikannya dengan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid turut mengekalkan portfolionya sebagai Menteri Dalam Negeri.

Kabinet

Artikel Sebelum

Artikel Lain