suria

Chong Ikrar Utamakan Mutu Pendidikan Negara

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Pendidikan yang baharu dilantik, Senator Chong Sin Woon berikrar untuk mengutamakan mutu pendidikan negara bagi memastikan ia seiring dengan hasrat Malaysia menjadi negara maju.

Ketua Pemuda MCA itu mengakui amanah yang dipertanggungjawabkan kepadanya adalah sangat mencabar memandangkan kementerian itu adalah antara yang terbesar dan terpenting.

Katanya beliau telah menerima banyak panggilan dan pesanan ringkas daripada pelbagai pihak termasuk guru dan sekolah berhubung pelbagai isu, sebelum mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara pagi tadi.

"Antaranya masalah kekurangan guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina. Ini antara perkara yang saya rasa perlu dititikberatkan dan saya akan jumpa dengan pihak yang berkaitan untuk berbincang apa yang boleh saya lakukan.

"Saya akan ambil masa secepat mungkin untuk memahami pengurusan dan pentadbiran kementerian supaya perancangan seterusnya akan lebih lancar," katanya kepada pemberita selepas memasuki pejabatnya buat kali pertama di Kementerian Pendidikan, di sini, Rabu.

Dalam rombakan kabinet yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam, Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan.

Datuk Seri Mahdzir Khalid dilantik sebagai Menteri Pendidikan yang baharu, selain P. Kamalanathan dan Chong sebagai Timbalan Menteri.

Rombakan itu turut menyaksikan Kementerian Pendidikan kembali dipecahkan kepada dua iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Datuk Seri Idris Jusoh yang sebelum ini Menteri Pendidikan Kedua dilantik sebagai Menteri Pengajian Tinggi dan Datuk Mary Yap Kain Ching sebagai timbalannya.

Kementerian Pendidikan, Kabinet

Artikel Lain