PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri yang baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri mesyuarat pertama Jemaah Menteri pada Rabu, sehari selepas pengumuman rombakan Kabinet. Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri kelihatan duduk di sebelah kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri itu berlangsung di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada petang Rabu. Selain Ahmad Zahid, ia turut dihadiri tujuh lagi menteri yang baru dilantik termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Mah Siew Keong; Menteri Perdagagangan Antarabangsa dan Industri II Datuk Seri Ong Ka Chuan; Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Hamzah Zainuddin. Tiga lagi menteri terlibat ialah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said; Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak dan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. Terdahulu, pemimpin Barisan Nasional itu mengangkat sumpah jawatan masing-masing di hadapan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan dan Taat Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia Oleh Menteri dan Timbalan Menteri di Istana Negara pada pagi Rabu.