suria

Murid Tahun Tiga Maut Disengat Tebuan

KEMAMAN: Seorang murid tahun tiga maut tiga hari selepas disengat tebuan dalam kejadian di Kampung Paya Berenjut, di sini, Selasa lepas.

Mangsa Nur Iman Iqmal Syafizan, 9, murid Sekolah Kebangsaan Mak Lagam di sini meninggal dunia kira-kira pukul 5.45 petang semalam ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Menurut bapa mangsa Syafizan Mohd Sallehuddin, 41, anaknya mengadu disengat di leher ketika dalam perjalanan pulang ke rumah kira-kira 6.20 petang.

"Dia mengadu kepada saya sebaik tiba di rumah dan bila saya lihat ada bekas sengatan serangga itu, saya terus bawa anak saya ke bilik air dan mandikannya dengan harapan dapat melegakan kesakitannya," katanya kepada pemberita.

Menurutnya selepas selesai mandi, anaknya tiba-tiba pengsan dan beliau kemudian terus membawanya ke Unit Kecemasan Hospital Kemaman untuk mendapatkan rawatan.

"Kalau dilihatkan daripada bekas sengatan, saya rasa anak saya disengat lebih daripada seekor, namun keadaan yang bengkak menyukarkan saya untuk memeriksa lebih lanjut sebelum saya terus memandikannya," kata Syafizan.

Beliau berkata anak ketiga daripada empat beradik itu dipindahkan ke HSNZ pada pukul 5.45 pagi Rabu setelah keadaannya tidak menunjukkan perubahan dan masih dalam keadaan koma.

"Menurut doktor sengatan di leher itu kemungkinan menjadi penyebab kematiannya kerana bisa sengatan tersebut mendatangkan kesan pada sarafnya dan terus ke jantungnya.

"Setelah dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi, keadaannya masih lagi tidak berubah sebelum disahkan meninggal petang semalam," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain