PARIS: Serpihan bangkai Boeing 777 yang terdampar di sebuah pulau kecil di Perancis dan disyaki milik penerbangan MH370 yang hilang, tiba di makmal Perancis untuk dianalisis, Sabtu. Jika disahkan ia adalah milik pesawat Malaysia Airlines (MAS), penemuan itu bakal menandakan kejayaan pertama dalam kes yang membingungkan pakar-pakar penerbangan dunia selama 16 bulan. Konvoi yang membawa serpihan bahagian sayap berukuran dua meter dan diletakkan dalam peti kayu itu diiringi polis dari Paris, ke makmal Kementerian Pertahanan berhampiran bandar di barat daya Toulouse. Bahagian yang dikenali sebagai flaperon itu, telah diterbangkan semalaman ke tanah besar dari pulau La Reunion, di mana ia ditemui di pantai di bandar Saint Andre awal minggu ini. Dari lapangan terbang Orly Paris, ia dibawa menuju ke selatan melalui jalan raya, tiba di makmal kira-kira pukul 5.30 petang waktu tempatan. MH370 hilang pada 8 Mac 2014, dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 orang di atas kapal. Pakar dari Malaysia dan Perancis akan memulakan analisis terhadap bahagian yang ditemui itu pada Rabu, termasuklah serpihan beg pakaian yang turut ditemui di kawasan berhampiran, menurut sumber. Pada Sabtu, beberapa ratus orang menghadiri himpunan di Saint Andre sebagai memperingati mangsa, beberapa ratus meter dari tempat di mana flaperon itu ditemui pada Rabu. "Saya percaya kita semakin hampir untuk menyelesaikan misteri MH370. Ini boleh menjadi bukti yang meyakinkan bahawa MH370 berakhir di Lautan Hindi," kata Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi kepada AFP. Boeing, gergasi aeroangkasa Amerika Syarikat dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata akan menghantar satu pasukan teknikal ke Perancis untuk mengkaji bahagian pesawat itu.