suria

Najib Yakin Ahmad Zahid Mampu Galas Tanggungjawab

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yakin kewibawaan Timbalan Perdana Menteri yang baharu iaitu Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dapat membantu beliau dan anggota Kabinet yang lain dalam menggalas tanggungjawab bagi memenuhi kehendak rakyat dalam ikatan dan semangat setiakawan.

"Saya percaya di atas kewibawaan beliau dapat membantu saya dan anggota-anggota Kabinet yang lain dalam satu jaringan dan ikatan yang kukuh dan semangat kesetiakawanan yang jitu untuk menggalas tanggungjawab dan amanah berat iaitu memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengalu-alukan kehadiran pertama Ahmad Zahid pada perhimpunan bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini, Isnin.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri dilantik sebagai timbalan perdana menteri menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam rombakan Kabinet yang diumumkan pada 28 Julai.

Ahmad Zahid yang tiba pada pukul 8.05 pagi kelihatan bersalaman dengan para menteri di bawah Jabatan Perdana Menteri dan menyambut ketibaan Najib sebelum perhimpunan bermula.

Turut hadir buat pertama kali ke perhimpunan bulanan itu setelah dilantik di bawah portfolio JPM ialah Datuk Seri Azalina Othman Said selaku Menteri dan Senator Datuk Asyraf Wajdi Dusuki selaku Timbalan Menteri.

Dalam ucapannya Najib mengalu-alukan kehadiran semua menteri di bawah JPM khusus menteri yang baharu dilantik.

"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah menjadi timbalan perdana menteri selama ini dan saya berharap beliau akan terus menyumbang baktinya kepada negara," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada menteri yang telah digugurkan iaitu Datuk Seri G.Palanivel, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Datuk Seri Hasan Malek dan Datuk Ewon Ebin.

Kini terdapat 11 orang menteri di bawah JPM iaitu Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Senator Datuk Seri Idris Jala, Tan Sri Joseph Kurup, Datuk Joseph Entulu Belaun, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Senator Paul Low Seng Kuan, Nancy Shukri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar, Datuk Wee Ka Siong, Datuk Mah Siew Keong dan Azalina.

Perdana Menteri, Umno

Artikel Lain