PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Isnin menerima watikah pelantikan sebagai Timbalan Perdana Menteri daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Perdana Putra di sini. Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri dilantik menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam rombakan Kabinet yang diumumkan perdana menteri pada 28 Julai lepas. Sejurus menerima watikah pelantikan, Ahmad Zahid diiringi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menuju ke pejabat Timbalan Perdana Menteri bagi memulakan tugas. Beliau mengimbas kad perakam waktu pada pukul 8.30 pagi. Ahmad Zahid yang kelihatan ceria kemudian mengaminkan bacaan doa oleh pegawai agama Jabatan Perdana Menteri (JPM), Ustaz Azhar Tuarno. Terdahulu Ahmad Zahid menyertai perhimpunan bulanan JPM yang turut dihadiri Menteri di JPM Datuk Seri Azalina Othman Said dan Timbalan Menteri di JPM Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga baharu dilantik menganggotai Kabinet.