KUALA LUMPUR: Polis sedang memburu seorang banduan lelaki yang melarikan diri ketika mendapatkan rawatan kesihatan di Hospital Selayang, petang Isnin. Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad ketika dihubungi Bernama, mengesahkan suspek berkenaan yang dikenali Kalaivanan Muniandy, 33, melarikan diri dari kawalan warden penjara, kira-kira pukul 2.40 petang tadi. "Suspek dipercayai mendapatkan rawatan kerana sakit perut. Ketika kejadian, dua warden yang ditugaskan mengawalnya berada di luar bilik dan tidak menyedari suspek telah melarikan diri. "Setakat ini, kita belum terima laporan polis dari pihak penjara cuma pihak hospital sahaja yang sudah membuat laporan mengenai pesakit yang melarikan diri," katanya. Suspek sedang menjalani hukuman penjara setahun di Penjara Kajang atas kesalahan mencuri kenderaan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.