KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa membenarkan permohonan kerajaan negeri Kelantan menangguhkan pendengaran terhadap saman mereka kepada Petroliam Nasional Berhad atau Petronas atas dakwaan melanggar kontrak pemberian royalti minyak sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan. Peguam S.Sitpah yang mewakili kerajaan negeri memberitahu pemberita Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosnaini Saub membenarkan penangguhan itu sementara menunggu rayuan yang ditetapkan pada 7 Disember nanti. Kerajaan Kelantan memgemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi mengetepikan permohonan mereka memasukkan 14 soalan perundangan dalam perbicaraan kes saman itu. Mahkamah itu sebelum ini menetapkan dua hari mulai 23 November untuk mendengar kes saman itu. Pada 2 Julai tahun lalu, Mahkamah Persekutuan mengarahkan kes saman itu dipindahkan kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan diselesaikan dengan cara menentukan dari sudut undang-undang tanpa perbicaraan penuh mengikut Perintah 14A Kaedah-kaedah Mahkamah 2012. Dalam keputusan itu, panel lima hakim yang diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong berkata tiada pertikaian fakta dalam kes itu yang memerlukan mahkamah memanggil saksi-saksi untuk memberi keterangan. Mahkamah tertinggi itu mengambil keputusan itu selepas mengetepikan rayuan kerajaan Kelantan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 26 April 2012, yang mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan kes saman sivil itu ditentukan menerusi perkara undang-undang. Pada 30 Ogos 2010, kerajaan negeri memfailkan saman terhadap Petronas, menuntut syarikat minyak itu membayar tunggakan dan apembayaran tunai masa depan bagi hasil minyak yang dikeluarkan di pesisir pantai Kelantan, seperti yang termaktub dalam perjanjian carigali petroleum. Dalam kenyataan tuntutan mereka, kerajaan negeri itu turut menuntut bayaran ganti rugi dengan kos. Bagaimanapun, ia tidak menyatakan jumlah spesifik tuntutan terhadap Petronas. Dalam saman itu, kerajaan negeri itu berkata dalam Perjanjian Petroleum Kelantan yang dimeterai pada 9 Mei 1975, ia jelas tertera Petronas harus membayar secara tunai lima peratus daripada hasil minyak, sama ada daripada usaha carigali di kawasan pantai atau di pesisir pantai. Jelasnya, satu klausa perjanjian itu menjelaskan bayaran harus dibuat dua kali setahun, pada atau sebelum 1 Mac dan pada atau sebelum 1 September. Dalam saman itu, kerajaan negeri Kelantan menamakan Petronas sebagai defendan tunggal. Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan kemudian berjaya dalam permohonan untuk menjadi pencelah dan dinamakan sebagai defendan kedua.