IPOH: Ahli Parlimen Sungai Siput Dr Michael Jeyakumar Devaraj, beberapa pemimpin Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan petani ditahan selepas ingkar arahan polis untuk bersurai. Antara pemimpin PSM lain yang ditahan di luar perkarangan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di sini adalah Setiausaha Agung parti itu, S.Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Kebangsaan, M.Saras dan Penyelaras Parti, K.Kunasekaran. Lebih 200 petani di bawah "Gabungan selamatkan petani dan penternak Perak" berhimpun di luar perkarangan bangunan tersebut kira-kira pukul 10 pagi Rabu untuk bertemu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir bagi menyelesaikan isu tanah yang tertangguh. Mereka duduk di tepi jalan bersama dengan sayur-sayuran, buah-buahan dan ikan sambil memegang plakad. Kira-kira 2 petang, seorang anggota dari Unit pasukan Light Strike Force (LSF) terpaksa campur tangan apabila beberapa petani cuba merempuh masuk ke dalam bangunan untuk bertemu Dr Zambry. Seorang wakil dari pejabat Dr Zambry kemudiannya memberitahu penunjuk perasaan bahawa beliau tidak dapat bertemu mereka. Pegawai tersebut memberitahu tarikh mesyuarat akan diketahui pada 10 Ogos ini. Polis kemudiannya memberi tempoh selama tiga minit kepada mereka yang berhimpun di luar bangunan tersebut untuk bersurai. Jeyakumar dan beberapa penunjuk perasaan ditahan kerana mereka ingkar arahan tersebut.