PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan di sini Rabu membenarkan empat lelaki yang berhadapan hukuman mati kerana didapati bersalah membunuh jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya mengemukakan barang kes baharu dalam rayuan mereka. Bekas peguam N. Pathmanabhan, 45 dan tiga pekerja ladang T.Thilaiyalagan, 23, R.Matan, 24 and R.Kathavarayan, 35, telah mendapatkan bukti mengenai keputusan lembaga disiplin peguambela dan peguamcara mengenai aduan terhadap peguam Roslie Sulle yang mewakili dua pekerja ladang yang mengaku bersalah atas dakwaan melupuskan bahan bukti berkaitan pembunuhan itu. Bukti lain adalah satu salinan rekod aduan kepada lembaga disiplin oleh bapa kepada pekerja ladang K. Sarawanan terhadap Roslie dan pengakuan bersumpah Sarawanan. U. Suresh, 28 and Sarawanan, 21 sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun kerana melupuskan bahan bukti berkaitan pembunuhan itu. Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Aziah Ali juga membenarkan bukti berkenaan dirujuk semasa proseding rayuan yang dijadual pada 10 Ogos ini. Beliau berkata mahkamah berpuas hati bahawa pemohon telah memenuhi syarat yang dikenakan untuk mengemukakan bukti baharu itu dalam rayuan mereka. Keempat mereka merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada tahun 2013 yang menjatuhkan hukuman mati selepas mendapati mereka bersalah membunuh Sosilawati, 47 pegawai bank Noorhisham Mohamad, 38, peguam Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pemandu Sosilawati, Kamaruddin Shamsuddin, 44. Mereka didakwa melakukan jenayah itu di Lot 2001, Jalan Tanjong Layang, Tanjung Sepat, Banting antara pukul 8.30 dan 9.30 malam pada 30 Ogos 2010. Pada prosiding Rabu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Matan berkata bukti berkenaan yang tidak ada semasa perbicaraan, adalah relevan kerana ia menyentuh isu berkenaan kesesuaian barang kes dan kewibawaan saksi utama. Timbalan Pendakwa Raya Ishak Mohd Yusoff membantah permohonan itu dan berkata pemohon telah diberikan perbicaraan yang adil di Mahkamah Tinggi dan mereka juga diberi peluang untuk pemeriksaan balas saksi pendakwaan. Pathmanaban diwakili oleh peguam Manjit Singh, Thilaiyalagan oleh Gurbachan Singh dan Kathavarayan oleh peguam M. Stanislaus Vethanayagam.