JOHOR BAHARU: Mayat seorang lelaki yang sedang mereput ditemukan terapung di perairan Penawar, dekat sini petang Selasa. Menurut Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), mayat berkenaan ditemui di kedudukan 4.3 batu nautika timur laut Tanjung Penawar setelah dimaklumkan penemuannya oleh nelayan di kawasan berkenaan kira-kira pukul 11 pagi. "Sebuah kapal ronda dan bot Maritim Malaysia telah diarahkan ke lokasi untuk mencari dan mengambil mayat tersebut dan lebih kurang 2 petang, mayat dijumpai di kawasan itu," kata agensi itu dalam satu kenyataan di sini, Rabu. Mayat kemudian dibawa ke jeti Marina Tanjung Pengelih dan telah diserah kepada polis untuk siasatan lanjut.