suria

MCMC Sambut Baik Saranan PM Perkukuh Aspek Perundangan

CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik saranan Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Abdul Razak agar Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 diperkukuh.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, Pengerusi MCMC, Dato Sri Dr. Halim Shafie berkata, MCMC komited untuk memperhebatkan penguatkuasaan terhadap mereka yang melanggar undang-undang.

Untuk tujuan itu, MCMC telah mewujudkan sebuah pasukan penguatkuasaan berdedikasi bagi menangani kandungan di media sosial yang telah melanggar undang-undang ataupun yang berupaya mencetuskan kebimbangan dan kekacauan awam agar tindakan penguatkuasaan segera dapat diambil, katanya.

Dr. Halim menambah, langkah tersebut adalah perlu menyedari bahawa platform tersebut kini disalah guna oleh segelintir pihak untuk menyebarkan pembohongan dan menyemai kebencian yang memudaratkan ketenteraman awam.

"Sesetengah peruntukan dalam Akta Komunikasi dan Multimedia perlu dipinda bagi memperkasakan peranan penguatkuasaan MCMC. Sebagai contoh, penalti untuk kesalahan-kesalahan perlu diteliti semula bagi memastikan AKM dilihat lebih berkesan sebagai satu langkah pencegahan, katanya.

Dr. Halim menjelaskan, pindaan kepada AKM perlu mengambil kira keadaan persekitaran dalam talian yang sudah berubah sepanjang tempoh 17 tahun yang lalu memandangkan Akta berkenaan digubal pada 1998. 

"Sebagai contoh, pada 1998, media sosial masih tidak wujud ketika itu. Untuk menangani aspek tersebut, perlu ada klasifikasi hukuman dalam AKM serta penerangan jelas berhubung tindakan penguatkuasaan yang diperlukan. Satu lagi trend untuk dipertimbangkan ialah para pengguna yang menggunakan maklumat tersebut kini juga adalah pihak yang menerbitkan kandungan," jelasnya.

Dr. Halim turut menegaskan, kajian semula AKM bukan hanya berkisar kepada usaha memperkukuh keupayaan penguatkuasaan MCMC semata-mata. Malahan, banyak lagi bahagian dalam AKM dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Akta MCMC) yang turut dikaji mengambil kira lanskap industri Komunikasi dan Multimedia yang sudah jauh berubah.

Beliau turut melahirkan harapan kajian semula ke atas AKM dan Akta MCMC akan mewujudkan suasana persekitaran yang sihat dan kondusif kepada pengguna untuk menggunakan Internet secara positif, selain menghalang pengguna menggunakan Internet untuk mencetuskan kebimbangan dan ketidakstabilan kepada negara.

MCMC akan meneruskan usaha memperhebat literasi media untuk mewujudkan kesedaran dan mendidik pengguna menggunakan Internet secara positif menerusi program-program literasi media yang sedang berlangsung ketika ini.

Menyekat akses kepada kandungan dalam Internet tidak semestinya jalan penyelesaian utama.

"Orang awam mesti sedar akan kepentingan menggunakan Internet secara bertanggungjawab dan positif. Kita harus mengelak situasi di mana majoriti pengguna yang menggunakan Internet secara bertanggungjawab menerima kesan hanya kerana perbuatan tidak bertanggungjawab segelintir pengguna. Langkah terbaik ialah untuk sentiasa berpegang kepada kebenaran, kata Dr. Halim.


MCMC, Internet

Artikel Lain