MARAN: Penduduk di beberapa taman perumahan di Bandar Tun Razak, Jengka di sini menjadi gempar dengan kejadian hujan batu petang Jumaat. Hujan sebesar biji guli itu berlaku pada pukul 5.35 petang selama kira-kira 10 minit. Difahamkan ini kali pertama ia berlaku di kawasan itu sehingga dilapor terdapat bumbung rumah yang bocor. Seorang surirumah Fauziah Ngah, 45, yang tinggal di Taman Perumahan Nadi, Kota Jengka berkata keadaan cuaca sebelum kejadian adalah mendung apabila tiba-tiba hujan dalam bentuk ketulan batu turun dengan lebat. "Ketika itu saya berada di halaman rumah dan sedang menggunting pokok bunga. Tiba-tiba hujan batu turun dengan lebat menyebabkan sebuah khemah di depan rumah saya koyak," katanya. Siti Zaleha Mahadi, 39, pula berkata bumbung rumahnya di bahagian dapurnya didapati bocor dan kemek. Seorang penunggang motosikal Sabri Mohd Yunus, 36, turut terkena hujan itu. "Saya terpaksa menghentikan motosikal saya di sebuah pondok. Hujan yang terkena pada topi keledar saya mengeluarkan bunyi yang kuat dan saya yakin jika saya tidak memakai topi keledar, sudah tentu kepala saya akan cedera," katanya. Beliau berkata banyak pengguna jalan raya terpaksa memberhentikan kenderaan mereka buat sementara waktu.