suria

MH370: Pencarian Lebih Banyak Serpihan Diteruskan

KUALA LUMPUR: Pihak berkuasa Perancis pada Jumaat melancarkan usaha mencari lebih banyak serpihan pesawat MH370 di perairan sekitar Pulau Reunion di Lautan Hindi, lapor Agence France-Presse (AFP).

Agensi berita itu melaporkan pencarian tersebut turut dijalankan oleh pihak berkuasa Mauritius bagi kemungkinan terdapat bahagian pesawat itu terdampar di pantainya.

AFP memetik pegawai tinggi kerajaan di Pulau Reunion, Dominique Sorain sebagai berkata: "Sebuah pesawat pengangkut tentera meronda di laut pesisir dan sebuah kapal turut berlepas sebelum ia terpaksa kembali berikutan cuaca buruk".

Sorain berkata bahawa helikopter turut akan digunakan sementara tentera dan polis juga akan meronda di bahagian timur pulau itu di mana flaperon atau sayap pesawat ditemukan sebelum ini.

"Ini...akan berakhir dalam seminggu selepas kami membuat kesimpulan pertama," kata beliau, lapor AFP.

Awal hari Khamis, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan flaperon yang ditemui di Pulau Reunion milik Perancis itu merupakan bahagian pesawat MH370.

Laporan menyatakan rekod penyelenggaraan pada flaperon itu menjadi bukti kukuh bahawa ia merupakan bahagian pesawat MH370 yang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China.

Penerbangan MH370 hilang dari radar pada 8 Mac 2014 semasa dalam penerbangan membawa 239 penumpang dan anak kapal.

MH370, MAS

Artikel Lain