suria

Seorang Anak Kapal Mt Joaquim Dirawat Di Hospital Melaka - Exco

MELAKA: Seorang anak kapal MT Joaquim kini sedang dirawat di Hospital Melaka kerana mengalami kecederaan ringan, kata Exco Kesihatan dan Pembangunan Sukan Melaka, Datuk Ab Rahaman Ab Karim.

Beliau berkata hasil pemeriksaan awal oleh doktor terhadap Lim Puay Huang, 39, seorang warga Singapura mendapati mangsa tidak mengalami kecederaan serius.

"Mangsa tiba di Hospital Melaka sekitar pukul 12.30 tengah hari tadi dan kita telah memberikan rawatan segera kepada mangsa yang bekerja sebagai pegawai kargo di atas kapal tersebut.

"Selain luka ringan, mangsa juga ada mengadu sakit di bahagian kepala dan doktor sedang menjalankan pemeriksaan lanjut ke atas mangsa bagi mengesan kecederaan lain sekiranya ada," katanya kepada pemberita di sini, Ahad.

Kapal MT Joaquim dengan muatan 3,500 metrik tan minyak mentah 'marine gas oil' bernilai kira-kira RM2.8 juta yang dilaporkan hilang Sabtu lepas, ditemui semula di kedudukan 14 batu nautika timur Pulau Rupat, Indonesia hari ini dengan 10 anak kapalnya telah dilepaskan manakala kargonya didapati hilang.

Ab Rahaman berkata, selain rawatan fizikal, pihak Hospital Melaka juga akan memberikan rawatan dari segi mental kepada mangsa yang trauma akibat kejadian tersebut.

Beliau turut memberikan pujian kepada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia, Polis Diraja Malaysia serta semua pihak berkuasa terlibat kerana telah menghantar mangsa dengan pantas ke Hospital Melaka bagi mendapatkan rawatan dengan cepat.-- Bernama


Mt Joaquim, Hospital Melaka

Artikel Lain