GEORGE TOWN: Polis Diraja Malaysia (PDRM) siap sedia untuk menghantar pasukan pengecaman mangsa bencana (DIV) ke Pulau Reunion bagi membantu siasatan berhubung insiden syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar. "Kami siap sedia untuk bergerak sebaik saja kami mengetahui di mana pesawat berada. Apa yang penting sekarang kita menunggu laporan selanjutnya daripada penyelidik; semua pihak yang menjalankan pencarian," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Malam Mesra Sempena Kejohanan Golf Ketua Polis Negara 2015, di sini Sabtu malam. Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing yang membawa 239 penumpang dan anak kapal, hilang dari imbasan radar pada 8 Mac 2014. Pada 6 Ogos lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengesahkan serpihan sayap yang ditemui di Pulau Reunion adalah milik MH370 yang hilang lebih 17 bulan lalu. Khalid berkata pihaknya turut mengalu-alukan mana-mana negara termasuk China yang berhasrat untuk bekerjasama dengan PDRM dalam usaha menjalankan siasatan.