suria

Polis Tangguh Siasatan Kes Kebocoran Maklumat Babitkan SPRM - KPN

GEORGE TOWN: Polis akan menangguhkan sementara siasatan melibatkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung kes kebocoran maklumat yang disiar dalam portal Sarawak Report, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Beliau berkata, walaupun lebih ramai lagi yang akan dipanggil bagi membantu siasatan, kes itu ditangguh untuk mengelak pelbagai andaian dan persepsi awam.

"Dengan berbagai andaian yang dibuat dan persepsi, saya telah mengarahkan supaya kita tangguhkan sementara (siasatan kes itu)," katanya pada sidang akhbar di sini, Sabtu.

Ditanya sampai bila siasatan kes itu akan ditangguh, Khalid berkata: "Kita tengoklah...saya tidak mahu rakan-rakan saya di SPRM menganggap kami membuat harrassment (penderaan)". 

Mengulas lanjut mengenai kes siasatan terhadap pegawai-pegawai kanan SPRM dan rampasan fail-fail serta komputer agensi itu, Khalid berkata, polis hanya menjalankan tanggungjawab untuk menyiasat berdasarkan laporan polis yang diterima.

Khalid berkata, polis tidak sekali-kali berniat untuk mengganggu apa juga siasatan yang dilakukan apatah lagi menyasarkan mana-mana institusi lebih-lebih lagi SPRM.

"Kami pula tidak ada pilihan, kami tidak boleh membuat siasatan pilihan,  kami tak boleh buat macam tu...apabila kami mendapat laporan kami terpaksa menjalankan tanggungjawab kami tambahan pula ini satu laporan yang amat serius.

"Kami perlu lengkapkan siasatan itu dan menyerahkan kepada peguam negara biar beliau yang membuat keputusan.

"Pertuduhan ini bukan dilakukan oleh satu institusi tetapi oleh individu-individu yang kami cari yang kami perlu siasat...saya tidak mahu bermasam-masam muka antara PDRM dan SPRM kerana ini sesungguhnya tidak baik untuk negara, untuk pasukan penguat kuasa," katanya.

Khalid berkata, apa yang dilakukan oleh polis adalah mengikut peruntukan undang-undang dan sebarang rampasan barang-barang bagi membantu siasatan merupakan asas dalam siasatan polis.

Terdahulu ketika berucap pada Malam Mesra Kejohanan Golf Piala Ketua Polis Negara 2015 di sini, Khalid berkata, SPRM bukanlah musuh polis dan adalah menjadi tanggungjawab polis memberi sokongan terhadap tugas-tugas agensi pencegahan rasuah itu.

"Kita semua tahu dalam satu minggu ini berlaku sedikit kemelut antara PDRM dan SPRM, kami tidak sekali-kali ingin mengganggu apa juga tugas-tugas yang dilaksanakan lain-lain agensi," katanya.

Beliau berkata, tindakan yang diambil polis terhadap pengarah dan dua pegawai kanan SPRM adalah kerana perlu mencari punca bagaimana salinan pertuduhan boleh dimuat naik dalam portal Sarawak Report.

"Kami juga memanggil saksi dari Bank Negara dan bank-bank komersial dalam melaksanakan siasatan. Tindakan yang kami ambil adalah atas arahan yang diberi oleh Peguam Negara. Kami mula tangkap tiga orang, rampas dokumen dan kemudian membebaskan mereka.

"Semua yang kami rampas telah kami kembalikan selepas kami selesai meneliti dokumen itu. Fokus kami cuma kepada kebocoran maklumat dalam Sarawak Report dan juga kebocoran maklumat perbankan. Kami anggap ini satu perbuatan yang amat serius kerana boleh mengancam kestabilan negara," katanya.

Sementara itu, Khalid berkata Bukit Aman telah meminta bantuan Polis Antarabangsa (Interpol) untuk menahan pengasas dan editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

"Kita memang telah keluarkan waran tangkap ke atas beliau dan juga meminta bantuan Interpol untuk disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki di bawah 'red

notice'," katanya. - Bernama

SPRM, PDRM, Khalid Abu Bakar

Artikel Lain