suria

Jurudawai Elektrik Mengaku Tidak Bersalah Cederakan Teman Wanita

KUALA LUMPUR: Seorang jurudawai elektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan mencederakan teman wanitanya, minggu lepas.

Albert John, 23, didakwa mencederakan S. Lydia, 21, menggunakan botol semburan nyamuk, pemetik api, batang penyapu dan menumbuknya sehingga menyebabkan mangsa mengalami kesakitan, lebam, dan lecur di beberapa bahagian anggota badan.

Tertuduh yang diwakili peguam Mousa Azaddin didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Jalan Tun Sambathan, Brickfields di sini pada 12.30 tengah malam 4 Ogos lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Majistret Saifulakmal Said membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 15 September ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abd Razak. -- Bernama 



Artikel Lain