suria

Hantar Kandungan Lucah Dan Palsu, Pengaturcara Komputer Didenda RM28,000

CYBERJAYA: Mahkamah Sesyen Petaling Jaya baru-baru ini menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM28,000 terhadap seorang pengaturcara komputer kerana menghantar kandungan palsu dan lucah menerusi aplikasi e-mel serta laman sesawang menggunakan identiti mangsanya.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kenyataannya memaklumkan, tindakan tersebut dilakukan oleh pengaturcara komputer berkenaan selepas cinta beliau ditolak.

Tertuduh, Hoo Wai Men, 39, telah didakwa atas dua pertuduhan kerana menghantar dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu dan lucah sifatnya, masing-masing pada 23 April 2009 dan 15 Oktober 2009.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd Salleh di hadapan Hakim Mahkamah Seksyen Petaling Jaya, Tuan Abu Bakar bin Manat ke atas tertuduh di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan, tertuduh mengaku salah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Bagaimanapun selepas mendengar rayuan oleh tertuduh, pihak Mahkamah menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM13,000 bagi pertuduhan pertama manakala RM15,000 untuk pertuduhan kedua.

MCMC menggesa kepada para pengguna kemudahan komunikasi, Internet mahupun aplikasi siber untuk mengamalkan kawal selia kendiri ketika menggunakan kemudahan tersebut. Gunakan kemudahan tersebut untuk tujuan-tujuan yang positif, katanya dalam kenyataan itu.

Perbuatan menghantar kandungan palsu dan lucah melalui aplikasi e-mel dan laman sesawang adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali. - Bernama

SKMM, Hoo Wai Men, lucah

Artikel Lain