suria

Majlis Doa Selamat Umno Di Seri Perdana Esok

PETALING JAYA: Semua ketua Umno bahagian dijangka menghadiri majlis tahlil dan doa selamat yang diadakan untuk mengaminkan kesejahteraan negara dan parti itu yang kini dilanda pelbagai dugaan. 

Ketua Umno Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo berkata, semua pimpinan peringkat bahagian itu dijemput menghadiri majlis tersebut yang akan berlangsung di kediaman rasmi perdana menteri di Seri Perdana, Putrajaya, malam Rabu.

Program tersebut dijadualkan bermula pukul 6.30 petang.

Pada masa sama, beliau turut menolak khabar angin bahawa majlis itu akan dijadikan medan mempertemukan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan semua ketua Umno bahagian.

"Saya rasa majlis ini tidak sesuai untuk dijadikan tempat membincangkan isu yang melanda parti dan negara.  Majlis ini lebih kepada mendoakan kesejahteraan negara dan juga parti," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Sebelum ini, tersebar khabar angin mengenai pertemuan Najib yang juga Presiden Umno dengan ketua umno bahagian yang akan diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada tarikh sama.

Ismail berkata, permasalahan yang melanda negara dan parti pada ketika ini sepatutnya diselesaikan dalam satu program yang lebih formal dengan melibatkan semua pimpinan tertinggi Umno.

Ismail Kijo

"Isu ini amat serius, kita tidak boleh sekadar bertemu dalam satu majlis yang santai. Kita kena duduk dan berbincang secara serius dengan mengenal pasti masalah serta mencari jalan penyelesaian dengan segera," katanya.

Menurut beliau, sekiranya isu-isu melibatkan parti yang menjadi viral tidak diselesaikan dengan kadar segera, ia akan menjadi barah yang lebih parah.

"Kalau kita biarkan sahaja tanpa mencari penyelesaian, contohnya macam orang sakit yang tak dibagi ubat, silap-silap boleh mati.

"Tapi kalau orang sakit kita suntik, kita buat kajian sakit apa kemudian buat diagnosis, lepas itu tentu tahu perlu ubat apa dan sakitnya boleh diubati," katanya.

Sementara itu, Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee juga mengaku adanya jemputan ke majlis tahlil dan doa selamat itu, bukan pertemuan dengan Perdana Menteri di PWTC.

"Majlis di PWTC itu hanya khabar angin, yang ada jemputan ke tahlil dan doa selamat di Seri Perdana," katanya.




Beberapa Ketua Umno Bahagian sudah mengesahkan akan menghadiri majlis tersebut.



Umno, Ismail Kijo

Artikel Sebelum

Artikel Lain