suria

Mahkamah Tolak Saman Keluarga Tiga Remaja Ditembak Mati Polis

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini menolak saman yang dikemukakan anggota keluarga tiga remaja yang mati ditembak polis dalam satu kejadian di sini, lima tahun lepas.

Hakim Datuk Rozana Ali Yusoff ketika memutuskan perkara itu turut memerintahkan plaintif membayar kos RM20,000 kepada semua defendan.

Tiga keluarga yang diwakili oleh enam individu itu terdiri daripada Shapiei Zainal Abidin, 43, Norhafizah Mad Razali, 41, Hamidah Kadar, 62, Norhaliza Tuah, 31, Omar Abu Bakar, 62, dan Noriah Darus, 53.

Shapiei dan Norhafizah ialah bapa dan ibu Muhammad Shamil, 15, Hamidah dan Norhaliza masing-masing ibu dan kakak Mohd Hairul Nizam, 20, manakala Omar dan Noriah ialah bapa dan ibu Muhammad Hanafi, 22.

Muhammad Shamil, Mohd Hairul dan Muhammad Hanafi dilaporkan mati ditembak oleh anggota-anggota polis yang dipercayai sedang bertugas di Glenmarie di sini pada pukul 4 pagi, 13 November 2010.

Ketiga-tiga remaja itu mati setelah terkena tembakan di kepala dan dada dalam kejadian tersebut.

Kesemua plaintif memfailkan saman terhadap Ketua Polis Daerah Shah Alam, Ketua Polis Selangor, Ketua Polis Negara, Kerajaan Malaysia, Inspektor Azrin Ezahar, Koperal Kamarul Zaman Awang, Lans Koperal Khairul Azahar Jali, Lans Koperal Mohd Juhaimi Jasmin, Lans Koperal Mohd Aminuddin Affendi Azmi, Konstabel Halfiz Ibrahim dan Konstabel Nafis Akmal Ismail bagi menuntut ganti rugi kerana didakwa melanggar hak asasi mangsa terbabit.

Pihak plaintif menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan serta deklarasi bahawa defendan-defendan telah sengaja atau dengan niat jahat melanggar kebebasan asasi ketiga-tiga mangsa seperti dalam bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif turut menuntut ganti rugi untuk tanggungan di bawah Seksyen 7 Akta Sivil 1956, ganti rugi untuk manfaat estet mangsa di bawah Seksyen 8 Akta Sivil 1956, kos dan sebarang perintah serta relif yang difikirkan patut dan sesuai oleh mahkamah.

Dalam penghakimannya, Rozana berkata berdasarkan bukti dan keterangan, tidak dinafikan ketiga-tiga si mati bersenjata ketika kejadian.

Beliau berkata terdapat keterangan bahawa kesemua si mati "melindungi diri menggunakan parang untuk menyerang defendan" dan ketika kejadian kesemua si mati dan anggota polis terlibat berada dalam keadaan sangat rapat berikutan kereta dinaiki mereka (si mati dan anggota polis) telah berlanggar.

"Dalam keadaan begitu defendan tidak boleh menunggu untuk dicederakan sebelum mengambil tindakan. Mereka (defendan) tiada pilihan selain melepaskan tembakan untuk melindungi diri," katanya.

Rozana berkata mahkamah juga berpuas hati bahawa defendan bertindak sedemikian dalam keadaan yang munasabah dan terdapat bukti "dapat dipercayai" yang menunjukkan defendan dalam keadaan tergugat.

Menurutnya, defendan hanya menjalankan hak mereka dalam mempertahankan diri sendiri.

"Plaintif dakwa si mati ditembak secara 'gaya pembunuhan' tetapi plaintif gagal memanggil saksi-saksi pakar untuk membuktikan dakwaan itu. Tiada alasan untuk mahkamah ragui keterangan defendan kerana tiada bukti mencukupi untuk menunjukkan defendan berpakat untuk cerita perkara yang sama.

"Secara keseluruhannya mahkamah dapati keterangan tiga defendan (Azrin, Kamarul Zaman dan Khairul Azahar) adalah dapat dipercayai dan diyakini. Justeru atas imbangan kebarangkalian, mahkamah menolak tuntutan plaintif dengan kos," katanya.

Kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Norliza Zulkifli sementara plaintif diwakili peguam Latheefa Koya.

Latheefa ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata pihaknya akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu di Mahkamah Rayuan.-- Bernama


Rozana Ali Yusoff, Akta Sivil

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain