KUALA LUMPUR: Belum lagi reda isu rokok elektronik berperisa ganja, warga kota dikejutkan pula trend terbaharu 'shisha stick', dipercayai mengandungi bahan menyebabkan ketagihan dan menjadi kegilaan golongan remaja. Berbentuk dan bersaiz sama seperti pen serta mempunyai pelbagai warna, 'shisha stick mudah disembunyi sebagai alat tulis, menurut satu status pengguna laman sosial 'Facebook' yang turut memuat naik gambar bahan berkenaan. Pengguna Facebook berkenaan menarik perhatian harga 'mampu milik' di sekitar RM17 ke RM20 dengan pelbagai perisa memudahkan lagi ia dibeli pelajar sekolah. Status itu turut dikongsi pengguna sosial media lain dan menjadi viral sejak minggu lepas. Hasil maklumat itu, Bernama membuat tinjauan di sekitar ibu kota dan mendapati ia dijual secara sembunyi hanya kepada golongan tertentu selain boleh juga didapati, antara lain, di kedai serbaneka. Penulis berusia awal 40-an ini menyamar sebagai pembeli di Pasar Larut Malam Danau Kota, Setapak, di sini namun gagal apabila seorang penjual rokok elektronik memberi pelbagai alasan untuk tidak menjualnya kepada penulis. Penjual itu yang hanya mahu dikenali sebagai Nizam pada mulanya tidak mengaku menjual barangan itu namun setelah dipujuk, dia mengaku pernah menjualnya. "Dulu memang ada jual tapi sekarang tak ada stok lagi abang," katanya. Bagaimanapun, rakan sekerja berumur awal 20-an yang menyamar sebagai pelajar sekolah berjaya membeli 'shisha stick' di sebuah kedai serbaneka yang turut menjual barangan runcit dari Timur Tengah di Jalan Bukit Bintang, setelah terpaksa mengambil masa lama berunding. Shisha stick itu tidak disimpan secara terbuka, dan peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai Malek hanya mengeluarkan barangan berkenaan dari sebuah bungkusan apabila pelanggan terdahulu beredar. "Do you want this one (shisha stick)...," kata Malek sambil menambah bahawa dia hanya mempunyai baki lapan shisha stick dalam stoknya. Kelihatan resah sepanjang urusan jual beli itu, Malek bagaimanapun enggan mendedahkan asal barangan berkenaan. Shisha stick itu dibeli oleh wartawan Bernama dengan harga RM17. Sementara itu Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata shisha stick atau dikenali sebagai 'Shisha Pen' ataupun dengan nama 'Hookah Pen' adalah kategori rokok elektronik dan mempunyai fungsi yang sama seperti 'Vapor'. Katanya shisha stick tidak popular berbanding vapor disebabkan kandungan cecair perisa yang sedikit dan tidak memberi kepuasan kepada pengguna berbanding vapor. "Sehingga kini tiada undang-undang berkaitan larangan mengguna shisha stick," katanya dalam satu kenyataan. Beliau berkata namun demikian Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Kementerian Pendidikan peringkat negeri dan daerah serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan berkerjasama bagi memantau penyalahgunaan bahan yang disyaki mengandungi dadah. Mohd Mokhtar berkata pemantauan dan risikan polis mendapati setakat ini penggunaan shisha stick bukan merupakan kaedah baharu bagi penyeludupan dan pengedaran dadah jenis ganja di negara ini.