suria

Markas Tentera Darat Tubuh Lembaga Penyiasatan Khas Siasat Tembakan Rambang

Gambar fail operasi Pasukan Gerakan Am di Felda Sahabat.

KUALA LUMPUR: Markas Tentera Darat telah menubuhkan Lembaga Penyiasatan khas bagi menyiasat insiden tembakan rambang di Khemah Pos Tentera, Felda Sahabat 22, dekat Lahad Datu, awal pagi Khamis, yang mengorbankan seorang anggota tentera.

Sel Perhubungan Raya Tentera Darat dalam satu kenyataan pada Jumaat menegaskan kejadian itu adalah kes terpencil.

"Ini tidak menghalang Tentera Darat meneruskan tugas demi menjamin kelangsungan hidup rakyat dan keselamatan negara," katanya.

Menurut kenyataan itu, keselamatan di kawasan operasi terkawal dan Tentera Darat dukacita di atas kejadian tersebut serta menghulurkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Koperal Raju Karno, 30.

Dalam kejadian 12.30 pagi itu, seorang lagi anggota tentera dikenali sebagai Koperal Julian Anak Janang cedera akibat terkena tembakan rambang yang dilepaskan rakan setugas mereka.

Seorang suspek berumur 22 tahun itu telah ditahan manakala sepucuk senapang M4 Carbain serta satu kelopak mengandungi 22 butir peluru hidup dirampas. - Bernama

Artikel Lain