suria

"Adakah Wujud Campur Tangan Dalam Siasatan 1MDB?" - Muhyiddin

KEMAMAN: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, sepanjang pembabitannya dalam kerajaan, beliau tidak pernah menentang Perdana Menteri dan dasar kerajaan melainkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Hanya satu perkara sahaja yang saya lakukan adalah menyuarakan cadangan saya mengenai 1MDB dan RM2.6 bilion," katanya ketika berucap sempena mesyuarat Umno Bahagian Kemaman pada Jumaat.

Timbalan presiden Umno itu berkata, apa yang dilakukannya adalah cuba untuk menyelamatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dari semua dakwaan salah laku dan pada masa sama untuk menjaga imej parti dan negara.

Muhyiddin berkata, rakyat mempersoalkan mengenai derma RM2.6 bilion dan mempunyai hak untuk mendapatkan jawapan.

"Rakyat berhak tahu. Bila mereka tanya saya, apa yang saya boleh katakan adalah saya tidak tahu. Rakyat mencari jawapan mengenai dari mana duit itu datang.

"Kalau derma itu untuk parti dan digunakan untuk pilihan raya umum ke-13, maka berapa banyak yang digunakan dan berapa bakinya," soal bekas timbalan perdana menteri itu.

Mengenai laporan Wall Street Journal baru-baru ini, Muhyiddin berkata, beliau ada menghantar mesej kepada Najib sebaik sahaja membaca artikel tersebut.

"Saya menghantar teks kepada Perdana Menteri untuk memaklumkan mengenai perkara itu dan Perdana Menteri harus memberikan penjelasan terhadap andaian dan tohmahan terhadap beliau. Beliau jawab teks saya dan kata 'terima kasih' dan beliau akan meminta Peguam Negara untuk memberikan penjelasan. Ini yang beliau sebutkan pada saya," katanya.

Mengenai pembubaran pasukan petugas khas yang ditubuhkan untuk menyiasat 1MDB, Muhyiddin membangkitkan persoalan.

"Apakah sebenarnya yang berlaku dengan mereka yang sepatutnya menyiasat perkara itu? Saya diberitahu baru-baru ini bahawa tidak ada lagi. Ia seolah-olah seperti ada campur tangan yang sedang mengganggu. Adakah ini kebetulan atau adakah ia dilakukan dengan sengaja?.

"Bukan saya yang mempersoalkannya tetapi rakyat mahu tahu," katanya.

Muhyiddin Yassin, 1MDB

Artikel Lain