Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi Misi Pencarian MH370 itu berkata antara perkara akan dibincangkan pada mesyuarat itu adalah sama ada kawasan pencarian perlu diperkecilkan setelah flaperon yang ditemukan di Pulau Reunion disahkan sebagai sebahagian daripada pesawat MH370.
"Setelah flaperon disahkan sebagai sebahagian daripada pesawat, kawasan pencarian mungkin akan ditentukan semula dan ia akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis Aidilfitri 2015 Persatuan Veteran Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, Sabtu.
Pada 6 Ogos lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan serpihan atau flaperon pesawat yang ditemukan di Pulau Reunion di Perancis Julai lalu adalah daripada pesawat MH370.
Sementara itu, Jailani berkata kementerian itu sehingga kini telah menemui lebih 50 pihak berkepentingan bagi usaha meminda Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 dan Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia 1998.
Katanya draf pindaan akta berkenaan dijangka dibawa ke sidang Parlimen Oktober ini.
"Pindaan ini bukan hanya melihat semula peruntukan dari segi media sosial tetapi juga secara keseluruhan termasuk penguatkuasaan dan penambahbaikan dalam akta ini," katanya.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak sebelum ini mencadangkan dua akta berkenaan dipinda bagi memastikan dunia tanpa sempadan ketika ini tidak disalah guna sehingga boleh mengancam kepada berlakunya jenayah.