suria

TPM Cabar Dalang Gulingkan Kerajaan Tampil

Ahmad Zahid memukul gong menandakan perasmian mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Kapar dekat Taman Sungai Kapar Indah, Sabtu. Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor Datuk Seri Noh Omar (tiga kanan di belakang Ahmad Zahid), dan Ketua Umno Bahagian Kapar Datuk Faizal Abdullah (dua kiri).

KLANG: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar pemimpin Umno yang terlibat dalam konspirasi menggulingkan kerajaan menafikan dakwaan itu.

"Jika berani, dia perlu tampil menafikan dakwaan itu menerusi media," kata Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Klang, Sabtu.

Terdahulu Ahmad Zahid telah mendedahkan berhubung komplot pembangkang untuk menggulingkan Barisan Nasional dan kerajaan yang turut didalangi pemimpin Umno.

Ketika ini, pemimpin Umno itu dengan kerjasama 87 Ahli Parlimen pembangkang sedang menyediakan akaun bersumpah untuk tujuan itu.

Ahmad Zahid berkata, situasi itu benar-benar berlaku, malah beliau tahu siapa pemimpin Umno terbabit serta peguam yang terlibat untuk menyiapkan akaun bersumpah itu.

Tegasnya lagi, beliau tahu apa yang berlaku kerana tugasnya selaku Menteri Dalam Negeri, sekali gus membolehkan beliau mendapatkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai.

Selain itu, beliau berkata, tidak adil untuk orang ramai  menghukum Datuk Seri Najib Tun Razak berasaskan persepsi dan pandangan awam.

"Dahulu, surat layang digunakan untuk mensabotaj pemimpin, bagaimanapun era masa kini menggunakan media sosial untuk tujuan itu," katanya.

Beliau berkata, langkah terbaik untuk mempertahankan diri adalah dengan menyerang musuh adalah dengan menggunakan platform media dan siber.

Ahmad Zahid juga menasihatkan perwakilan supaya bersatu dan mengukuhkan Umno negeri itu untuk merampas semula daripada pembangkang.

Ahmad Zahid Hamidi, Umno

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain