SAO PAULO: Bunyi siren dan tepukan menandakan berakhirnya tugasan 20 peserta Malaysia pada World Skills Competition (WSC) 2015 di Anhembi Park di sini, Sabtu. Produk-produk akhir tugasan yang diberikan kepada peserta kemudian dipamerkan di ruang kerja masing-masing bagi dinilai oleh juri. Ia termasuk hasil tangan peserta teknologi fesyen, Mimi Faizura Shamsudin iaitu skirt pendek kuning dengan jaket berwarna biru; sebuah kerusi oleh peserta pemasangan, Lau King Hieng dan lima gayaan rambut oleh peserta dandanan rambut, Airul Firham Che Amran. Pertandingan di Sao Paolo, Brazil yang bermula pada 12 Ogos lepas disertai sebanyak 1,200 peserta dari lebih 60 negara dengan sebanyak 46 bidang kemahiran dipertandingkan. Keputusan rasmi pemenang pingat emas, perak dan gangsa bagi setiap bidang yang dipertandingkan akan diumumkan kira-kira 8 malam waktu tempatan pada 16 Ogos (7 pagi waktu Malaysia pada 17 Ogos) dalam upacara penutupan WSC 2015. Malaysia yang membuat penampilan bagi kali ke-12 sejak 1993 belum pernah meraih sebarang pingat pada WSC. Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib berkata kesemua peserta merupakan wira negara yang membawa harapan dan maruah negara di peringkat antarabangsa. "Saya harap 20 wira ini dapat menempa sejarah untuk negara dan menunjukkan pada dunia, Malaysia bukan negara kerdil dalam bidang kemahiran," katanya dalam satu majlis resepsi bagi menghargai sumbangan peserta pada sebelah malamnya. Turut hadir Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin. Ismail berharap semangat dan kekuatan peserta negara pada WSC dapat dijadikan contoh kepada belia lain untuk menceburi bidang kemahiran dan bersaing di pentas antarabangsa. Katanya Malaysia juga memerlukan lebih ramai belia berkemahiran untuk memacu negara menjadi negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2020.-- Bernama