BATU PAHAT: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar menyifatkan penganjur Bersih 4.0 hanya mementingkan diri kerana sanggup mengadakan demonstrasi yang akan menjejaskan kehidupan harian orang ramai terutama peniaga dan pemandu teksi. Beliau berkata nama Bersih hanyalah sekadar gelaran namun hakikatnya penganjur tidak mahu mematuhi undang-undang. "Mereka minta 'clean' (bersih) itu, 'clean' ini tetapi diri sendiri kotor tidak mahu mematuhi undang-undang. Dia tidak mahu menjaga kepentingan orang lain, dia nak jaga hak dia sahaja, sesuka hati berhimpun. "Cuba kita tengok, bila mereka mengadakan perhimpunan semua tutup kedai. Mereka (peniaga) ini tidak ada hak ke. Jadi, fikirkanlah juga hak orang lain," katanya mengulas cadangan penganjuran demonstrasi Bersih 4.0 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur; Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah) pada bulan ini. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis perbarisan tamat latihan dan pentauliahan Kor Suksis Insitutut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) kali ke-11 di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini, Ahad. Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Rusli Ahmad dan Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Bukit Aman Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. Khalid berkata, pihaknya juga mendapati penganjuran Bersih tidak lagi untuk memperjuangkan pilihan raya bersih namun lebih menjurus untuk menjatuhkan kerajaan. "Ini saya bagi ingatan ... jika ini tujuan mereka (jatuhkan kerajaan), polis akan ambil tindakan-tindakan pencegahan dan saya ingatkan penganjur-penganjur Bersih agar berhati-hati," katanya. Berhubung pendedahan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi semalam bahawa terdapat gerakan untuk menggulingkan kerajaan yang didalangi seorang tokoh Umno dengan sokongan anggota Parlimen pembangkang, Khalid berkata polis sedang memantau perkembangan yang berlaku ketika ini. "Jika mana-mana orang dan parti politik cuba menurunkan kerajaan sedia tanpa mengikut Perlembagaan dan undang-undang (ia kesalahan serius), kita akan ambil tindakan," katanya. Berkenaan Kor Suksis, beliau berkata, pihaknya sedang mempertimbang untuk mengkaji semula silibus latihan bagi memantapkan lagi pasukan itu. Sebanyak 1,026 pelatih Kor Suksis menerima sijil tamat latihan pada majlis itu.-- Bernama