TAMPIN: Pemimpin Umno yang didakwa berhasrat bergabung dengan anggota Parlimen pembangkang untuk menggulingkan kerajaan, akan bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Timbalan Perdana Menteri berkata, pemimpin berkenaan telah sedar akan kesalahannya dan bersedia untuk bertemu dengan Najib dan pertemuan itu dijangka diadakan 6 petang Ahad. "Maklumat yang saya dapat ini sahih, bukan maklumat tepi jalan dan maklumat ini saya peroleh daripada orang yang hadir mesyuarat itu sendiri. "Kalau saya tak timbulkan perkara ini daripada sekarang, mungkin lebih ramai ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) telah dibeli dengan penandatanganan Aku Janji itu," katanya dalam ucapan semasa merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Tampin di sini, Ahad. Turut hadir Ketua Umno Bahagian Tampin ,Datuk Seri Shaziman Abu Mansor dan Ketua Penerangan Umno Negeri Sembilan, Datuk Jalaludin Alias. Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden Umno menegaskan memang ada rancangan meminta anggota Parlimen BN supaya 'menyeberang' bersama-sama dengan pihak pembangkang dengan menandatangani surat aku janji untuk menggulingkan kerajaan sedia ada. "Saya kenal siapa peguam yang menyediakan dokumen itu dan saya tidak perlu sebut nama peguam itu, (dia) bukan peguam kita. "Saya cuma tak boleh sebut nama tapi maklumat dan rancangan jahat ini betul," katanya. Ahmad Zahid berkata, Umno tidak akan mengizinkan sebarang cubaan untuk mengulingkan kerajaan melainkan melalui pilihan raya. "Kita tidak mahu perkara ini terjadi kerana kita sayangkan kerajaan sedia ada yang dipilih oleh rakyat secara sah dan demokratik. "Sistem dan acuan Malaysia mesti dihormati oleh semua parti politik yang ada dalam negara kita," katanya.