suria

MH370: Serpihan Baharu Ditemui Di Maldives

Liow Tiong Lai.

KUALA LUMPUR: Dua serpihan baharu yang ditemui di Maldives dan akan diteliti oleh kumpulan pakar bagi menentukan sekiranya ia mempunyai kaitan dengan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370 yang hilang, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata, salah satu serpihan "berbentuk sarang lebah" manakala satu lagi serpihan mempunyai permukaan rata.

"Ia sangat kecil, kira-kira sebesar tangan anda," katanya ketika diminta mengulas mengenai penemuan baharu itu pada Ahad.

"Perkara pertama yang kita perlu lakukan adalah mengenal pasti sama ada ia sebenarnya serpihan pesawat," kata Liow sambil menambah bahawa serpihan itu ditemui dua hari lalu.

"Pasukan kita di sini akan mengesahkannya sekiranya ia dari pesawat dan sekiranya pengesahan dibuat, serpihan itu akan dihantar ke pasukan penyiasatan antarabangsa untuk menentukan sama ada ia adalah milik MH370." katanya.

Tambah Liow, pengesahan yang dibuat pasukan Malaysia tidak mengambil masa lama.

Pesawat MH370 dengan 227 penumpang dan 12 anak kapal hilang pada 8 Mac 2014 dalam penerbangannya dari Kuala Lumpur ke Beijing.



MH370, Maldives

Artikel Lain