Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor ACP Md Tahir Kasim berkata dalam kejadian 7.30 malam itu, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya menahan lelaki berusia 28 tahun itu yang berada dalam keadaan mencurigakan di kawasan pangsapuri berkenaan.
"Sebelum ditahan, suspek membuang satu bungkusan plastik yang dibawa bersamanya ketika itu. Hasil siasatan mendapati bungkusan itu mengandungi ketulan ganja seberat kira-kira 120 gram.
"Polis turut menemui dua rangkai anak kunci bersama suspek dan selepas disoal siasat, lelaki itu kemudian membawa polis ke satu unit pangsapuri yang disewanya," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini Isnin.
Md Tahir berkata susulan penemuan itu, suspek kemudian membawa polis ke unit kedua yang turut disewanya dan pemeriksaan ke atas unit terbabit membawa kepada penemuan satu bungkusan di ruang tamu.
Di dalam bungkusan itu, polis menjumpai 20 paket plastik berisi ganja seberat 220 gram berserta lima paket dadah jenis syabu seberat 110 gram.
Md Tahir berkata suspek yang masuk ke negara ini melalui visa pelajar ditahan reman bermula Khamis lepas sehingga 20 Ogos ini, dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.