KUALA LUMPUR: Kes saman aktivis sosial Datin Paduka Marina Mahathir terhadap presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan 12 lagi selesai selepas wakil ISMA melahirkan kekesalan menyiarkan artikel yang mengaitkan Marina sebagai dalang dalam aktiviti Gabungan Badan Bukan Kerajaan (Ngo) Hak Asasi Manusia (Comango). Timbalan Presiden ISMA Aminuddin Yahaya ketika membacakan terma-terma kekesalan, menyatakan kekesalan sekiranya artikel dan risalah-risalah yang diedarkan telah menyebabkan kepayahan dan kesan buruk dan memberikan gambaran yang salah terhadap Marina sebagai dalang yang liberal dan antiIslam. Beliau berkata artikel dan risalah-risalah itu tidak bermaksud untuk memberikan gambaran buruk terhadap Marina. "Kami menyedari kedudukan beliau sebagai seorang pemimpin masyarakat yang memperjuangkan isu-isu semasa di dalam dan luar negara dengan telus dan disegani ramai," katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noraini Abdul Rahman yang kemudiannya merekodkan perintah persetujuan bagi menyelesaikan kes saman itu. Aminuddin berkata pada 8 November 2013 Media ISMA Sdn Bhd telah menerbitkan satu artikel bertajuk "ISMA edar 70,000 risalah dedah dalang Comango" di dalam laman web ISMA di http://www.ismaweb.net dengan pautan laman web ISMA facebook di https://wwww.facebook.com/isma.malaysia yang menyatakan ISMA telah mengedarkan 70,000 helai risalah yang menggambarkan Marina sebagai dalang Comango. Beliau berkata ISMA mengedarkan risalah-risalah itu di masjid-masjid sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur, Shah Alam, Putrajaya, Seremban, Samarahan (Sarawak), Melaka, Kuantan dan Kuala Terengganu pada 8 November tahun lepas. Aminuddin berkata artikel dan risalah itu memberi gambaran Marina adalah dalang di sebalik Comango dan beliau adalah tokoh Sisters in Islam (SIS) yang liberal dan antiIslam di Malaysia yang membuat tuntutan untuk menghalalkan seks songsang bagi golongan lesbian, gay dan transgender (LBGT). Kedua-dua pihak hari ini bersetuju untuk menyelesaikan kes itu melalui proses mediasi yang berlangsung lebih tujuh jam hari ini. Mahkamah tidak membuat sebarang perintah berhubung kos. Selepas prosiding selesai, Marina menangis sambil ditenangkan dan dipeluk oleh suaminya Tara Sosrowardoyo dan anak perempuannya Ineza Roussile. Pada 16 Jan tahun lepas, Marina memfailkan saman terhadap presiden ISMA Abdullah Zaik Abd Rahman, Aminuddin dan 11 AJK pertubuhan itu sebagai defendan berhubung artikel dan risalah-risalah itu. Ketika ditemui di luar mahkamah dan ditanya kenapa beliau menangis selepas prosiding itu selesai, Marina dengan tenang menjawab beliau menangis kerana berasa lega selepas melalui apa yang berlaku. "Ini merupakan kes mahkamah saya yang pertama. Saya telah menyaksikan banyak kes lain. Saya tidak sedar betapa emosinya apabila orang bercakap tentang karakter dan maruah anda, saya mendapati ia sesuatu yang amat sukar bagi diri saya," katanya. Ditanya reaksinya sebaik mendapat tahu tentang artikel dan risalah itu yang diedarkan di masjid-masjid, katanya beliau amat terkejut apabila selepas bangun daripada tidur dan melihat nama dan wajahnya disenaraikan sebagai dalang kegiatan Comango. "Ia benar-benar menyedihkan dan kesal apabila ada orang menggelar anda ini (dalang) dan saya satu-satunya orang Islam dalam senarai itu, sebab itu saya mengambil tindakan ini (saman)," katanya.