suria

492 Mangsa Pemerdagangan Manusia Warga Bangladesh Dihantar Pulang

Sebahagian daripada lebih 1,000 Pati warga Bangladesh dan Myanmar Rohingnya ketika ditahan di perairan Langkawi pada Mei lalu. Foto BERNAMA

PETALING JAYA: Sehingga kini, seramai 492 mangsa pemerdagangan manusia warga Bangladesh yang mendarat di Langkawi pada Mei lalu telah dihantar pulang ke negara asal.

Pengarah Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen, Zahari Abdul Aziz berkata, sebelum ini seramai 716 pendatang Bangladesh yang ditahan itu ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik, Kedah bagi tujuan pengusiran.

Menurutnya, penghantaran pulang dilakukan secara berperingkat bergantung kepada urusan dokumentasi dan penerbangan.

“Seramai 492 pendatang Bangladesh telah dihantar pulang ke negara asal sejak kumpulan pertama melalui proses sama pada 18 Jun lalu.

“Masih ada baki 223 pendatang Bangladesh yang ditahan di Depot Tahanan Imigresen Belantik. Kita akan usahakan untuk dokumentasi dengan kerjasama Kedutaan Bangladesh bagi penghantaran pulang mereka secepat mungkin,” katanya kepada mStar Online.

Pada 10 Mei lalu, seramai 1,158 warga Bangladesh dan pelarian Rohingya termasuk wanita dan kanak-kanak mendarat di Langkawi sebelum kesemua mereka ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Belantik.

Zahari berkata, tujuh kumpulan yang dihantar pulang bermula 18 Jun lalu iaitu seramai 61 orang, diikuti 98 (8 Julai), 94 (9 Julai), 12 (10 Julai), 43 (1 Ogos) dan 90 warga Bangladesh pada 2 Ogos.

“Segala kos penghantaran pulang ditanggung Kedutaan Bangladesh,” katanya.

Mengenai pelarian Rohingya, Zahari berkata, proses pengesahan masih dilakukan dengan Kedutaan Myanmar.

Ditanya mengenai kos untuk membiayai pendatang di depot tahanan, Zahari memberitahu, ia berjumlah kira-kira RM35 sehari seperti yang diumumkan Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar tahun lalu.

Wan Junaidi yang ketika itu Timbalan Menteri Dalam Negeri dilaporkan berkata, kos tersebut meliputi makanan dan belanja asas seperti penginapan dan perubatan penghuni.

Artikel Berikut

Artikel Lain