suria

Pemuda Umno Mahu Bertemu Najib, Sampaikan Kegelisahan Akar Umbi

KUALA LUMPUR: Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin akan bertemu Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat bagi menyuarakan kebimbangan dan keresahan golongan belia terhadap isu-isu besar yang melanda negara ketika ini.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata, Pemuda Umno akan memohon pertemuan khas itu diadakan secepat mungkin bagi menyampaikan suara golongan muda termasuk hasil mesyuarat perwakilan sayap parti itu yang merupakan suara akar umbi.

"Kita telah buat ketetapan dalam masa terdekat kita akan berjumpa dengan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak, kita akan mohon untuk mengadap beliau untuk sampaikan pandangan dan pendirian Pemuda Umno terutama yang dibuat dalam mesyuarat perwakilan baru-baru ini.

"Kita juga memohon untuk bertemu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkenaan isu-isu daripada akar umbi Pemuda supaya tindakan dapat diambil terhadap kerisauan dan keresahan yang dirasai mereka dalam isu-isu besar negara,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, Isnin.

Khairy menambah, antara isu yang akan dikemukakan termasuklah siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dana politik RM2.6 bilion dan persepsi-persepsi rakyat terhadap isu-isu tersebut.

Turut akan dibawa adalah usul tergempar supaya Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri yang dibawa oleh Pemuda Umno Bahagian Tampin ketika Mesyuarat Perwakilan Pemuda Bahagian Tampin, 16 Ogos lalu.

"Ini semua isu yang bukan hanya dibincangkan oleh Pemuda tetapi juga dibincangkan oleh rakyat terutama pengundi muda Malaysia di luar parti.

"Menjadi tugas kita untuk sampaikan perspektif dan persepsi orang muda kepada pucuk pimpinan parti kita," katanya.

Menurut Khairy, usul dan isu yang akan dibawa tidak akan ditapis sebaliknya ia akan disampaikan dalam ‘bentuk usul’ yang datang dari perwakilan peringkat Bahagian.

"Pelbagai bentuk (usul), pelbagai pandangan. Kita akan nyatakan kepada pucuk pimpinan apa yang kita dengar daripada akar umbi dan anak anak muda luar parti supaya pucuk pimpinan dapat melaksanakan apa yang patut untuk kembalikan keyakinan kumpulan ini kepada parti," katanya.

Mengenai tarikh pertemuan, beliau berkata sayap parti itu akan memohon satu tarikh selepas selesainya Mesyuarat Majlis Tertinggi Umno yang dijadualkan diadakan pada 9 September ini.

Pemuda Umno, Perwakilan, Exco Pemuda

Artikel Lain