suria

KJ Tidak Layan Pertanyaan Akan Letak Jawatan Menteri

KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin tidak mempedulikan pertanyaan mengenai desas-desus bahawa beliau akan meletakkan jawatan sebagai menteri.

Khairy yang ditanya berhubung desas-desus itu selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pergerakan Pemuda Umno Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Isnin bertindak meninggalkan bilik mesyuarat di tingkat 38 Menara Dato’ Onn, tempat di mana mesyuarat Exco Pemuda diadakan tanpa menjawab pertanyaan tersebut.

Khabar angin mengenai peletakan jawatan beliau sebagai menteri bertiup kencang di kalangan anggota pergerakan itu sendiri ekoran beberapa kenyataannya yang lantang mengenai isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penyaluran dana berupa derma RM2.6 bilion ke akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Terdahulu, ketika sidang media diadakan Khairy sekali lagi menegaskan bahawa siasatan terhadap isu-isu besar seperti 1MDB perlu diselesaikan dengan segera.

"Beri masa untuk isu-isu besar yang dihadapi kerajaan dan parti diselesaikan. Kita juga setuju bahawa semua isu itu perlu diselesaikan dengan cepat dan sepenuhnya," tegas beliau merujuk kepada ketetapan yang dibuat dalam mesyuarat Exco Pemuda sebelum itu.

Khairy turut mengulas mengenai usul tergempar yang meminta supaya Najib meletakkan jawatan sebagai perdana menteri dan presiden Umno yang diluluskan Pemuda Umno Bahagian Tampin.

Ia dibuat pada 16 Ogos lalu dalam Persidangan Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Tampin.

Khairy berkata, walaupun ia adalah usul yang tidak dirancang, namun akan tetap akan dibawa ke perhatian presiden parti dalam satu pertemuan yang dijangka akan berlangsung dalam masa terdekat.

"Perkara itu telah pun saya maklumkan kepada presiden, saya kata ini adalah usul yang tak dirancang oleh Pemuda peringkat Bahagian, tapi datang dari satu cawangan…tapi perkara ini kita akan bawa kepada perhatian presiden," katanya.

Ditanya pendapat beliau mengenai usul tersebut, Khairy berkata," itu biar kita bincang dalam perjumpaan dengan presiden nanti… saya tak nak mendahului perjumpaan kita dengan presiden."

Artikel Lain