suria

Pemuda Umno Masih Hormat Muhyiddin - Khairy

Khairy (tiga dari kanan) pada Mesyuarat Exco Pemuda Umno pada Isnin. Foto:RAJA FAISAL HISHAN/The Star.

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno masih menghormati Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun beliau telah disingkirkan daripada Kabinet.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata sayap parti itu menghormati Muhyiddin kerana beliau masih lagi memegang jawatan timbalan presiden dalam parti.

“Jawatan ini (timbalan presiden) tak boleh dilantik, ia jawatan yang dipilih. 

“Kita mengakui dan masih menghormati Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai timbalan presiden dalam Umno,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda Umno di sini, Isnin.

Beliau perkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat yang diadakan dan menjadi satu ketetapan yang dibuat oleh Pemuda Umno.

Khairy berkata demikian sebagai mengulas mengenai usul yang dibuat dalam Persidangan Perwakilan Gabungan Umno Keningau dan Pensiangan yang mahu mencalonkan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai timbalan presiden Umno pada pemilihan akan datang.

Pencalonan Zahid itu dibuat sebagai tanda sokongan padu bahagian itu kepada beliau, sejajar dengan kedudukannya sebagai timbalan perdana menteri.

Dalam pada itu Khairy berkata bahawa beliau akan meminta pandangan Ketua Pemuda Umno negeri dan ahli Exco berhubung usul supaya pemilihan parti tidak ditangguh selepas mesyuarat perwakilan di peringkat bahagian selesai tidak lama lagi.

“Buat masa ini kita masih terikat dengan keputusan Majlis Tertinggi Umno untuk tangguh pemilihan selama 18 bulan.

“Memandang ada pandangan berbeza daripada yang ditetapkan, kita akan selesaikan dahulu persidangan perwakilan dan selepas itu kita akan lihat sejauh mana pandangan Pemuda akar umbi mengenai perkara ini dipegang dan kemudian baru kita buat satu lagi ketetapan,” katanya.

Artikel Lain